Nasional

Rayuan haji: bayar RM22,900 atau RM9,980?

BAKAL jemaah haji mungkin terkeliru dengan borang rayuan untuk menunaikan ibadah itu pada tahun ini.

Ia berikutan terdapat perubahan pada borang tersebut yang meminta pemohon untuk menandakan sama ada bersetuju membayar penuh (RM22,900) atau bersubsidi (RM9,980).

Persoalan tersebut ditimbulkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuku kenyataan yang dimuat naik dalam Facebooknya.

Menurut beliau, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof perlu menjelaskan rasional diwujudkan persetujuan bayaran penuh atau subsidi.

[BACA ARTIKEL] Kuota haji Malaysia tahun ini naik 1,400 orang — Suara Merdeka

[BACA ARTIKEL] Tiada lagi subsidi bagi perayu haji — Suara Merdeka

Berikut adalah kenyataan penuh Asyraf Wajdi:

Polemik borang rayuan haji yang mengelirukan: Dr. Mujahid perlu tampil jelaskan!

Ramai yang keliru dengan borang baharu yang perlu diisi oleh setiap orang yang ingin merayu bagi menunaikan Haji pada tahun ini.

Didalam borang tersebut, perayu dikehendaki menandakan di satu bahagian samaada mereka bersetuju untuk membayar penuh RM22,900 ataupun tidak.

Dalam siaran pemaklumanannya, pihak Tabung Haji menyatakan terserah kepada pihak perayu untuk membayar penuh secara sukarela.

Dengan bahasa mudah, terserah siapa yang nak bayar penuh RM22,900 atau nak bayar kos bersubsidi RM9,980.

Mana-mana orang yang rasional sudah tentu akan pilih hendak bayar RM9,980 berbanding RM22,900!

Persoalannya:

1. Apakah rasionalnya diwujudkan bahagian untuk ditandakan persetujuan untuk perayu membayar kos penuh RM22,900?

2. Apa jaminan Perayu yang menandakan tidak bersetuju untuk membayar penuh kos RM22,900 akan menerima pertimbangan yang adil?

3. Apakah akan wujud diskriminasi terhadap layanan jemaah haji muassasah yang membayar penuh dengan yang bayar kos bersubsidi?

4. Apakah ini ada kaitan dengan pertemuan dengan Mufti-Mufti Jumaat lalu untuk mendapatkan ‘endorsement’ atau sokongan bagi membolehkan TH mengenakan caj penuh kepada perayu atas hujah istito’ah (kemampuan)?

5. Apakah ini satu kaedah u-turn setelah mendapat bantahan rakyat tatkala Menteri pada awalnya mengumumkan untuk mengurangkan subsidi Haji?

Mohon kali ini Menteri YB Dr Mujahid Yusof Rawa dapat tampil memberikan pencerahan sebagaimana YB tampil mengumumkan kejayaan kenaikan kuota rasmi Haji tempoh hari.

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button