NasionalPolitik

Pas terus mengidam bertapak di Sarawak

SEJAK sekian lama bertanding di dalam pilihan raya, Pas belum mampu memenangi sebarang kerusi di Sarawak.

Kawasan yang dilihat berpotensi untuk dimenangi ialah kawasan Dewan Undangan Negeri Beting Maro.

Beting Maro di Sri Aman berjaya dikurangkan majoriti calon Barisan Nasional, tetapi tidak cukup untuk memenanginya.

Kawasan yang majoriti penduduk Melayu beragama Islam ini mempunyai kemiripan dengan kawasan di Kelantan.

Ia membabitkan tiga kawasan daerah mengundi iaitu Beladin, Undai dan Pusa.

Di Beladin merupakan kawasan utama Melayu yang bekerja sebagai nelayan.

Kawasan Beting Maro diwujudkan pada tahun 1996 dan setakat ini kawasan itu telah dimenangi oleh calon Bolhasan Di dari PBB sejak awal diwujudkan hingga ke 2011.

Selepas itu diganti oleh Razaili Gapor juga memang selama tiga penggal termasuk terakhir pada pilihan raya negeri yang lalu.

Dengan terjalinnya hubungan Pas dan UMNO melalui Muafakat Nasional peluang kali ini adalah lebih baik.

Masalahnya kini ialah dahulu UMNO dan PBB adalah sebahagian daripada komponen parti Barisan Nasional dan apabila Barisan kalah Sarawak membentuk Gabungan Parti Sarawak atau GPS yang turut membabitkan PBB.

GPS tidak menyertai Barisan, tetapi lebih mesra kepada pemerintah pusat.

UMNO pula walaupun pernah cuba memasuki ke Sarawak semasa zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri, tetapi gagal dan sejak itu usaha tersebut mati begitu sahaja.

Jadi kali dijangkakan pilihan raya negeri yang bakal berlangsung tahun depan akan menyaksikan Pas bertembung dengan GPS, tetapi dalam senario politik yang berbeza.

Parti serpihan UMNO iaitu Bersatu telah berjaya ditubuhkan di Sarawak, dan dengan pengaruh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pastinya ia memberi impak.

Apakah Bersatu akan bertanding di kawasan Beting Maro atau terdapat rundingan bagi memberi laluan kepada PBB dari GPS.

Bagaimanapun jika berlaku pertembungan tiga penjuru iaitu Pas, GPS dan PH ia akan menjadi lebih menarik serta peluang sudah tentu lebih terbuka kepada Pas.

Dewan Pemuda Pas Sarawak sebagaimana dilaporkan Harakah Daily telah bersedia memenangkan Pas di Dun Beting Maro pada PRN kali ini.

Kejayaan DPPNS mengadakan pemukiman selama dua hari telah menghasilkan beberapa ketetapan dan resolusi hala tuju juga perancangan Pemuda Pas Sarawak berhadapan PRN12.

Hasil kajian dan dapatan kami, peningkatan sokongan anak muda Beting Maro terhadap pengaruh Pas sangat signifikan dan menunjukkan graf peningkatan. Ia boleh dilihat hasil survey awam dan undian di media sosial setempat akan pengaruh dan kekuatan Pas pada PRN yang lepas.

Memandangkan undi teras Pas di Beting Maro pada PRN11 menunjukkan jumlah yang sangat baik iaitu sebanyak 3,051 undi, manakala PBB-BN hanya memperoleh  majoriti kurang dari 1,500 undi.

Dengan landskap politik baru Sarawak, berkemungkinan besar Pas Sarawak boleh memenangi Dun Beting Maro dengan bergaya apabila PBB tidak lagi menggunakan BN selaku proksi sebaliknya menggunakan penjenamaan GPS.

Melihat momentum daripada kemenangan cemerlang di lima pilihan raya kecil sebelum ini Muafakat Nasional telah mendapat sokongan para pengundi termasuk yang terbaharu di Kimanis, Sabah.

Jika kejayaan ini dicapai, Pas akhirnya bakal buat pertama kali mendapat kerusi pertama di Sarawak.

 

(Visited 252 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button