BeritaNasional

Menderita kanser: Daz Bikers mohon orang awam, syarikat korporat bantu Habsah

KELAB motosikal berkuasa tinggi, Daz Bikers memohon kepada orang awam dan syarikat-syarikat korporat untuk tampil membantu Habsah Ismail, 54, dari Kampung Galang, Pulai Chondong, Machang, Kelantan yang kini terlantar akibat kanser paru-paru tahap empat.

Penaungnya, Datuk Paduka Zuhairi Ab. Kadir berkata, setelah penderitaan dialami oleh wanita berkenaan tular di laman media sosial dan turut dilaporkan oleh media arus perdana, namun sehingga kini tidak ramai pihak yang tampil menghulurkan bantuan yang begitu diperlukan Habsah terutama membabitkan kewangan.

Katanya, simpati dengan penderitaan Habsah, Daz Bikers melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan mengumpul sumbangan kewangan dalam kalangan ahlinya.

“Semalam, Daz Bikers bertolak dari Kuantan ke Machang bagi menyampaikan sumbangan kepada wanita berkenaan. Sebanyak 45 motosikal berkuasa tinggi dari Daz Bikers dan Pasir Puteh Bikers Club (PPBC) terlibat dalam program CSR itu.

“Bantuan kewangan yang kita sampaikan itu diharap dapat meringankan beban yang ditanggung oleh Habsah yang ketika ini hilang punca pendapatan setelah menderita penyakit berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sumbangan berupa wang tunai itu disampaikan oleh isteri kepada Penaung Daz Bikers, Datin Paduka Engku Norasikir Engku Lah.

Media baru-baru ini melaporkan seorang pelajar di Machang terpaksa menggalas tanggungjawab menguruskan ibunya yang terlantar sakit kanser paru-paru tahap empat sebelum pergi ke sekolah.

Nurul Faizatul Akmal Shukri, 16, yang juga pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Samad memberitahu, dia akan menyiapkan segala keperluan seawal pukul 4 pagi sebelum meninggalkan ibunya sendirian di rumah.

Tugas menguruskan Habsah turut dilakukan secara bergilir-gilir oleh Nurul Faizatul dengan adiknya, Nurul Sahana, yang berusia 13 tahun.

Mengulas lanjut Zuhairi berkata, sumbangan orang ramai dan syarikat korporat begitu penting bagi membantu kelangsungan hidup keluarga itu.

“Selain untuk perbelajaan Habsah untuk membeli lampin pakai buang dan susu setiap bulan, sumbangan itu dapat digunakan untuk perbelanjaan sekolah Nurul Faizatul dan adiknya,” ujarnya

Beliau dalam pada itu berkata, Daz Bikers kagum dengan pengorbanan Nurul Faizatul dan adiknya yang bergilir-gilir menjaga ibu mereka.

“Dua remaja berkenaan begitu tabah menghadapi dugaan hidup mereka, mereka juga tidak meninggalkan pelajaran biarpun perlu menguruskan ibu mereka sebelum ke sekolah. Begitu besar pengorbanan mereka berdua,” ujarnya.

(Visited 286 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button