Bola SepakSukan

Kelemahan strategi Lampard punca Chelsea catat keputusan seri

SAYA kaki bola. Tetapi bukan pemain bola sepak yang baik. Tetapi saya pemerhati bola yang hebat.

Jadi saya tidak mahu mengulas bola sepak berdasar pandangan laporan media Inggeris, tetapi berdasarkan pemerhatian saya sendiri.

Jangan tertipu dengan nama saya Borhan Abu Samah. Saya bukan bekas pemain bola sepak Singapura, kerana saya wartawan sejak azali.

Walaupun media tempatan memetik media Inggeris kelemahan barisan pertahanan menjadi punca keputusan kurang memberangsangkan Chelsea, tetapi saya berpendirian sebaliknya.

Manchester United contohnya walaupun mereka menjaringkan gol sendiri, tetapi akhirnya mereka menang.

Chelsea akan mengutip mata penuh jika Lampard tidak melakukan kesilapan percaturan pada minit-minit terakhir perlawanan.

Kesalahan terbesar Lampard apabila menukarkan tiga pemain berturut-turut ketika Chelsea sudah mendahului dan pada masa yang sama mengawal perlawanan.

Timo Werner bermain dengan baik ketika berganding dengan Kai Havertz dan Mason Mount di barisan depan. Buktinya Werner telah menjaringkan dua gol dan Havertz menyumbang satu gol.

Pemain lain yang harus diberi pujian ialah Christian Pulisic yang menggerakkan bahagian tengah bersama-sama Jorginho.

N’Golo Kante pula pemain yang diberi kebebasan bergerak bukan sahaja mematahkan serangan balas lawan, bahkan membantu barisan hadapan.

Ketika kedudukan Chelsea mendahului 3-2 terhadap Southampton dan menghampiri 15 minit terakhir, Chelsea gagal bertindak sebagai pengendali yang berpengalaman.

Lampard memasuki pemain baharu Hakim Ziyech, yang belum pernah beraksi dengan rakan-rakan yang lain.

Ziyech memang berbakat, tetapi dia kelihatan sangat kekok menyebabkan posisinya sering bertindih dengan pemain lain.

Kekalutan itu semakin menjadi bercelaru apabila Reece James dimasukkan. James yang pernah menjaringkan gol, lebih ghairah menyerang daripada mengukuhkan pertahanan, sedangkan peranan itu lebih berkesan ketika dipikul oleh Chilwell.

Chilwell bukan sahaja sering membuat hantaran berkualiti ke dalam kotak penalti lawan, bahkan pantas turun bertahan.

Kelonggaran itu digunakan oleh Southampton untuk menekan barisan pertahanan yang akhirnya bolos pada saat-saat akhir.

Kesimpulan Lampard tidak perlu melakukan pertukaran pemain besar-besaran ketika pasukannya mendahului dan mengawal permainan. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button