Kelas demokrasi anjuran Fahmi Reza yang berpaksikan pemikiran liberal disambut pelajar IPT
Kelas demokrasi anjuran Fahmi Reza yang berpaksikan pemikiran liberal disambut pelajar IPTFahmi Reza berjaya mengorak langkah untuk menanam pemikiran liberal dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi sama ada awam atau swasta dengan menggunakan sistem demokrasi sebagai contoh.
Bagi Fahmi, prinsip rukun negara itu sendiri misalnya mengandungi unsur konservatif dan liberal namun perkataan itu seolah-olah menjadi momokan sehingga pengundi kali pertama jadi keliru untuk memahami permainan politik dalam negara.
Bertepatan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung tidak lama lagi, kelas demokrasi yang dianjurkan secara haram ibarat satu batu loncatan untuk meniupkan semangat rebel dalam kalangan pelajar.
Meninjau pengajaran yang kononnya menekankan asas demokrasi, Fahmi langsung tidak menegaskan rukun negara yang pertama iaitu ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’ berkait secara langsung dengan Lafaz Sumpah Jawatan Yang DiPertuan Agong (YDPA).
Dalam Perkara 37 Jadual 4, YDPA melafazkan sumpah rabbani yang berbunyi:
“Wallahi, Wabillahi, Watallahi.. Maka dengan lafaz ini berikrarlah Kami dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan Perlembagaan yang telah disahkan dan dimasyurkan dan akan disah dan dimasyurkan di masa hadapan ini. Dan lagi Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri.”
Namun demikian Fahmi dilihat gagal menceritakan perihal sebenar mengenai Perlembagaan Persekutuan dan tampil dengan gaya santai kononnya demokrasi negara berpaksikan liberal yang mengikut acuan Barat.
Lebih memilukan, kelas demokrasi anjuran Fahmi ini menerima penyertaan ramai pelajar yang majoriti di antara mereka tidak pernah membelek atau memahami Perlembagaan Persekutuan lalu mempercayai Pakatan Harapan memberikan masa depan yang terbaik buat Malaysia.
Memang visual yang terpapar dalam media sosial adalah dengan berbekalkan papan putih, Fahmi cuba mengajar dan dihalau lalu mendapat simpati generasi muda yang kononnya benci akan penindasan.
Namun apalah erti simpati kepada kononnya penindasan sedang berlaku dan hak mereka untuk belajar sistem demokrasi disekat pihak universiti lalu membidas seperti hero?
Sedangkan hakikatnya, bukan sahaja sejarah pembentukan parti politik, asas ilmu kenegaraan pun masih dangkal, mahu mendengar ceramah daripada pendukung pemikiran liberal yang langsung tidak berpaksikan prinsip rukun negara yang sepatutnya bersandarkan Islam.
Jelas tindakan pihak universiti adalah satu usaha untuk menyelamat generasi muda untuk diajar subjek yang mereka sendiri tidak faham tetapi menganggap ia seronok kerana dibawa oleh Fahmi yang tampil dengan imej ‘stailo’ dan tidak terlalu serius bagaikan guru disiplin itu.