Nasional

Kelantan benarkan pembalakan di HSK Nenggiri

TIMBALAN Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri yang didedahkan baru-baru ini adalah berlesen.

Beliau berkata, pembalakan berlaku sejak sekian lama memandangkan itu adalah sebahagian daripada hasil kerajaan negeri.

“Walaupun pembalakan dibenarkan namun ia terikat dengan peraturan dan tidak boleh melebihi catuan tebangan tahunan yang ditetapkan oleh kerajaan persekutuan,” katanya.

Katanya lagi, syarikat yang melakukan aktiviti pembalakan perlu mematuhi peraturan iaitu kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

“Semua yang kita lakukan di HSK Nenggiri mengikut peraturan yang ditetapkan dan Kelantan juga tidak pernah membuat tebangan balak melebihi catuan tebangan tahunan yang ditetapkan,” katanya.

Berita Harian melaporkan Amar sebagai berkata, isu pembalakan tidak perlu diperbesarkan kerana itu bukan perkara baharu sebaliknya sudah berlaku sejak sekian lama dan menjadi pendapatan kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak menafikan berlaku kecurian balak di Kelantan dan sekiranya mendapat laporan perkara itu akan disiasat oleh Jabatan Perhutanan.

“Isu curi balak bukan sahaja berlaku di Kelantan tetapi di semua negeri. Jika ada laporan kecurian, kita akan siasat dan ambil tindakan.

“Apabila berlaku kecurian, tidak sepatutnya menteri besar atau kerajaan negeri dipersalahkan. Sebagai contoh anak yang mencuri, takkan kita boleh kata ayahnya yang bersalah sedangkan anak yang mencuri. Begitu juga dengan isu curi balak,” jelasnya.

Terdahulu, Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa yang juga bekas exco kerajaan negeri mendedahkan kompartmen 26 di HSK Nenggiri diwartakan sebagai hutan dara perlindungan.

Walau bagaimanapun beliau mendakwa, diluluskan untuk pembalakan kepada anak syarikat kerajaan negeri, Daulah Najah Sdn Bhd.

Beliau turut mendakwa, wujud kes “kecurian” balak di kawasan bersebelahan iaitu kompartmen 25 yang membabitkan anggaran kerugian sehingga RM5 juta.

Mengulas mengenai kecurian kompartmen 25, Amar berkata, pihaknya difahamkan Jabatan Perhutanan sudah menyita balak terbabit untuk siasatan lanjut. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button