Jenayah

Kekasih larikan teman wanita ketika naik lori polis

Polis buru pasangan kekasih 'Bonnie and Clyde'

UMPAMA dalam filem Hollywood bertajuk ‘Bonnie and Clyde’ yang memaparkan pasangan kekasih yang melakukan kerja-kerja jenayah. Seorang wanita  yang dihadapkan ke Mahkamah Raub, Pahang, semalam berjaya meloloskan diri dengan membonceng motosikal teman lelakinya yang datang untuk ‘menyelamatkannya’.

Wanita tersebut berusia 23 tahun, dikenali sebagai Saidatina Aida Sahabudin dan difahamkan bahawa dia  baharu sahaja selesai dihadapkan ke mahkamah bersama 11 lagi suspek yang lain. Bagaimanapun, tidak dinyatakan apakah kes yang dihadapi oleh Saidatina Aida.

DALAM buruan polis, lelaki yang melarikan teman wanita di perkarangan tempat letak kereta Mahkamah Raub, Pahang, petang semalam.

Ketika anggota polis mengiringi wanita berkenaan untuk menaiki lori bagi membawa dia ke penjara Ibu Pejabat Daerah Raub, datang sebuah motosikal dari arah belakang, bertindak membantu wanita itu melarikan diri.

Kejadian berlaku petang semalam kira-kira pukul 4.30 setelah sebutan kes selesai.

Difahamkan, semasa kejadian, anggota polis mengiringi kesemua 12 suspek termasuk wanita itu, untuk dibawa menaiki lori polis yang diletakkan di kawasan meletak kereta Mahkamah Raub.

Semasa pihak polis sedang memerhati gerak geri suspek wanita itu menaiki lori, secara tiba-tiba datang seorang lelaki menunggang motosikal jenis Yamaha LC berwarna hitam.

Penunggang motosikal berhenti di tepi suspek wanita itu secara mengejut sebelum suspek bertindak melompat ke atas motosikal.

Penunggang motosikal itu bersama suspek wanita yang diboncengnya, terus meluru laju meninggalkan perkarangan tempat meletak kenderaan di Mahkamah Raub.

Anggota polis bertindak pantas, cuba mengejar motosikal terbabit tetapi malangnya terlepas dan terjatuh sehingga mengalami kecederaan di kedua-dua tapak tangan.

Pihak polis masih dalam operasi menjejak dan memburu kedua-dua individu berkenaan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button