Nasional

Raja Muda Perlis dijangka sempurnakan pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam

Majlis Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam yang juga dikenali dengan nama singkatannya sebagai ‘Kor SISPA’ Peringkat Kebangsaan Kali Ke-11 Tahun 2020 akan diadakan di Dewan Kecemerlangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Pauh Putra, Perlis pada pagi sabtu 19 September 2020 yang akan datang ini.

Pentauliahan tersebut akan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Canselor UniMAP.

Dijadualkan berangkat sama mengiringi baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

 

Demikian dipersembahmaklumkan kepada Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam satu majlis sembah mengadap oleh Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Datuk Roslan Wahab bagi penerangan perjalanan majlis yang diadakan di Bilik Tuanku Canselor, Kampus UniMAP Jejawi, Arau.

Hadir sama ialah Komandan Kor SISWA UniMAP, Prof Ir Ts Dr Mohd Rizal Arshad, Pengarah APM Negeri Perlis Leftenan Kolonel (Pertahanan Awam) Ishak Mohd Radzi dan Penolong Pendaftar Kanan Pejabat Naib Canselor UniMAP, Mejar Muhammad Azuan Mohamad Nasir.

Seramai 303 peserta melibatkan 80 lelaki dan 223 wanita daripada UniMAP, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Teknologi MARA Kampus Shah Alam dan Puncak Alam, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia Pahang, Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman serta Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) akan menerima watikah pentauliahan Pegawai Leftenan Muda (Pertahanan Awam) Kor SISPA masing-masing daripada Tuanku Raja Muda Perlis di majlis tersebut.

Bersempena majlis ini juga, mengambil sempena kempen ‘World Clean Up Day’ yang akan dilaksanakan di seluruh dunia pada sabtu 19 September ini, pihak APM menyahut titah cadangan daripada Tuanku Raja Muda untuk kesemua para peserta pentauliahan berkenaan beserta dengan para pegawai dan anggota daripada pejabat APM Perlis akan melibatkan diri bersama-sama masyarakat setempat dalam satu aktiviti Program Tanggungjawab Sosial Korporat. Ianya berupa kempen menjadikan ‘Rakyat Perlis Hidup Bersih’ melalui gotong royong membersihkan kawasan PPRT Kampung Tok Kuning, Kangar pada petang jumaat 18 September ini dengan kerjasama pihak Majlis Perbandaran Kangar, SW Corp, E-Idaman, Jabatan Kesihatan Negeri, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) beserta pelbagai agensi lain lagi.

(Visited 315 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button