PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, semoga hubungan yang sekian lama antara Perlis dan Indonesia akan terus kekal dan berkembang dengan baik.
Titah Baginda, ia seiring dengan tuntutan supaya kedua pihak ini saling mengeratkan hubungan sebagai saudara serumpun.
“Apatah lagi terdapat banyak persamaan bagi kedua belah pihak ini dari sudut budaya, adat, bahasa, seni bahkan geopolitik,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan menerima mengadap perpisahan oleh
Konsul Jeneral Indonesia di Pulau Pinang, Bambang Suharto dan isteri, Berti Agustina di George Town semalam.
Bambang akan bertukar ke ibu pejabatnya di Jakarta setelah tiga tahun berkhidmat di Malaysia.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, semua pihak juga perlu sentiasa berusaha menerokai aspek kepentingan bersama sama ada dari sudut sosial, ekonomi dan juga politik.
Titah Baginda, usaha berkenaan diharapkan dapat membawa kekuatan bersama dalam menjayakan aspirasi kestabilan dan kehebatan ASEAN serta juga IMT-GT.
“Prinsip dasar ajaran Islam tentang hubungan manusia dengan manusia dan Mahabbah adalah tolong-menolong dalam kebaikan dan bukan tolong-menolong dalam keburukan,” titah Baginda.
Baginda bertitah, ukhuwah atau persaudaraan itu sendiri berasal daripada perkataan bahasa Arab, iaitu ‘akhun’ yang bermaksud saudara, kawan, teman atau sahabat. – SM
BACA Malaysia Dan Indonesia Ini Hubungannya Seperti Adik-Beradik Kerana Bapanya Nusantara!
BACA Hubungan akrab dengan Indonesia noktahkan isu berlarutan