Kejuaraan B-16 AFF 2022: Harimau Muda berjaya benam Kemboja 3-0
SKUAD Muda Negara tampil dengan langkah kanan dalam perlawanan pertama kempen Kejuaraan Bawah 16 Tahun (B-16) AFF 2022 selepas menundukkan Kemboja 3-0 dalam aksi kumpulan C yang berlangsung di Stadium Maguwoharjo Sleman, Jogjakarta pada malam semalam, 2 Ogos 2022.
Jaringan awal skuad bimbingan Osmera Omoro bermula seawal minit ke-6 menerusi Muhammad Arami Wafiy Zakimi menyempurnakan peluang di pintu gol selepas percubaan awal Muhammad Anjasmirza Saharudin ditepis oleh penjaga gol Kemboja, Ron Chongmieng.
Penguasaan perlawanan dan usaha jentera serangan menambah gol bagi menjarakkan kedudukan selesa berhasil pada separuh masa kedua berhasil melalui jaringan Muhamad Farish Danish Mohd Asrul minit ke-59 selepas beliau berjaya melepasi perangkap ofsaid lalu menewaskan Chongmieng.
Jaringan kedua peribadi Farish pada minit ke-78 hasil tandukan pada situasi sepakan penjuru memastikan pasukan Harimau Muda ini meraih 3 mata penuh pada aksi perlawanan pertama kejohanan AFF kali ini.
Kemenangan bergaya itu menjadi tonik dan motivasi penting skuad muda negara yang turun selaku juara bertahan serta menjelang pertemuan menentang pasukan Myanmar yang dijadualkan berlangsung pada perlawanan kedua kumpulan C pada Jumaat, 5 Ogos 2022 ini.