Nasionalpilihan

Kebocoran boleh berlaku jika sesuatu organisasi gagal sediakan standard pengurusan data

Sekiranya sesebuah organisasi gagal menyediakan standard pengurusan data, tidak mustahil kebocoran boleh berlaku dan diakses pihak ketiga.

Jika langkah kawalan keselamatan dalam memastikan keselamatan data kurang diberi perhatian, akan ada pihak yang sedia menyalah gunakannya.

Kata Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Mazmalek Mohamad, kebocoran data yang berlaku di luar organisasi boleh disebabkan serangan siber.

“Perkara ini terjadi apabila sesebuah organisasi gagal memastikan infrastruktur penyimpanan data dan sistem rangkaian berada dalam tahap keselamatan yang tinggi.

“Sedangkan tujuan asalnya adalah bagi melindungi data daripada dicerobohi dengan mengambil kira perkembangan teknologi digital semasa,” katanya.

Mazmalek berkata demikian mengulas permasalahan sesebuah organisasi yang kurang cakna dalam mempertingkatkan perlindungan data peribadi.

Dalam masa sama, Mazmalek turut memberitahu ada juga sesetengah kes melibatkan data peribadi tertiris dengan tidak sengaja dan tanpa disedari.

Antaranya, wujud segelintir individu yang gemar berkongsi data peribadi dalam media sosial atau sewenang-wenangnya berkongsi data peribadi dengan pihak ketiga.

Boleh jadi melalui laman web atau aktiviti kajian selidik secara bersemuka yang menawarkan hadiah percuma, sekali gus menyumbang kepada kebocoran dan penyalahgunaan data peribadi tersebut.

“Ada juga individu yang suka menyertai pelbagai kumpulan sembang sosial seperti WhatsApp dan Telegram dan tidak mengenali semua ahlinya.

“Kemungkinan ada antara ahli kumpulan tersebut ialah ejen telepemasaran atau scammer yang mengumpulkan nombor telefon ahli bagi tujuan pemasaran atau memperdayakan mangsa,” katanya.

Mengulas lanjut tentang ketirisan data peribadi ini, Mazmalek tidak menolak ada sesetengah kes dilaporkan berlaku secara paksaan.

“Sebagai contoh, seorang penjamin kepada pinjaman ahli keluarga mungkin menzahirkan alamat penuh dan nombor telefon peminjam asal apabila diugut secara kasar oleh agensi pengutip hutang,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button