Ekonomi

KDNK disemak semula, unjuran 3.0 hingga 4.0 untuk keseluruhan tahun ini

UNJURAN pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disemak semula dan ia dijangka tumbuh antara 3.0 hingga 4.0 pada tahun ini.

Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini mengunjurkan ekonomi negara pada tahun ini untuk berkembang antara 6.0 antara 7.5 peratus.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata, unjuran pertumbuhan baharu itu lebih rendah berbanding dengan julat pertumbuhan yang diumumkan sebelum ini.

Pada taklimat media mengumumkan prestasi KDNK Malaysia bagi suku kedua 2021 secara maya hari ini, beliau berkata, ini disebabkan sebahagian besarnya oleh pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan di seluruh negara.

Bagaimanapun, katanya, ekonomi negara akan pulih beransur-ansur hasil dorongan jangkaan pembukaan semula ekonomi menjelang akhir suku keempat tahun ini dengan pertumbuhan global yang lebih tinggi dan sokongan dasar yang berterusan memberikan dorongan selanjutnya kepada pertumbuhan ekonomi.

Pemulihan yang lebih pesat katanya, dijangka pada tahun 2022, yang akan disokong oleh kegiatan ekonomi yang beransur-ansur kembali normal dan limpahan kesan positif daripada permintaan luaran yang terus meningkat.

Mengenai program imunisasi kebangsaan, Nor Shamsiah berkata, kemajuan yang berterusan dan keberkesanan program pemberian vaksin akan menjadi pemangkin utama kepada pembukaan semula ekonomi dan menjadi pendorong kepada sentimen yang positif.

Hal ini katanya, akan mengurangkan tekanan ke atas kapasiti sistem penjagaan kesihatan dan membolehkan langkah-langkah pembendungan dilonggarkan.

“Selain itu, pertumbuhan akan terus disokong oleh peningkatan pengeluaran komoditi, wujudnya sedikit permintaan terpendam dan pelaburan yang berterusan dalam projek infrastruktur berskala besar berikutan penamatan sekatan,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button