Rencah Hidup

Kartunis Ujang operator boat house di Tasik Kenyir

LEBIH tiga dekad Ujang bertahan dalam dunia karikatur di tanah air sendiri. Selama tempoh itulah Ujang melakar namanya sebagai seorang kartunis, menimba pengalaman demi pengalaman sehingga beliau kaya dengan pengalaman dalam bidang tersebut.

Masih pekat dialek Minang atau Nogeri apabila bertutur dengan beliau, Ujang sebenarnya boleh sahaja mendabik dada dengan kejayaan karier pilihannya hari ini.

Akan tetapi beliau tetap berpegang kepada rasmi padi, semakin berisi semakin tunduk dan mudah memberi kerjasama kepada wartawan apabila menghubunginya.

Selepas lebih dua tahun tidak bersua muka dengan Ujang, hari ini beliau tampil sebagai temu dalam Live SUARA MERDEKA.

“Saya ada mengusahakan boat house di Tasik Kenyir sejak tahun 2000 lagi tetapi sekarang, dalam keadaan pendamik Covid-19 melanda kita, kegiatan boat house terpaksa diperlahankan,” katanya.

Beliau berkata, sambutan boat house yang diusahakannya amatlah baik dan pelanggan yang memilih untuk merasai keseronokan menaiki dan bermalam di atas boat house tidak perlu bimbang tentang makan minum.

“Kita ada tiga krew yang bertugas dalam satu-satu masa dan disediakan juga tukang masak. Hari ini tukang masak ada bersama-sama kita di SUARA MERDEKA menemani saya,” katanya sambil menambah, tukang masak yang dimaksudkan itu ialah Hasbul.

Menurut Ujang lagi, di atas boat house, Hasbul akan menyediakan sajian ikan air tawar dan keenakkannya dapat dirasai oleh mereka yang menginap di atas boat house Ujang.

Beliau berkata, terdapat tiga kategori bot yang disediakan dan dua antaranya ialah VIP Boat dan bot untuk marhaen.

“Bot marhaen ni untuk mereka yang membawa pelajar sekolah dengan bajet yang rendah. Kita sediakan juga. Mereka sebenarnya nak merasa tidur atas lantai papan bot kerana itu menyeronokkan,” ujar Ujang.

Seelok-eloknya, mereka yang ingin menginap di atas boat house yang diusahakan oleh Ujang ini, membuat tempahan seminggu lebih awal.

“Tempahan lebih awal perlu kerana memberi pihak kami masa untuk membuat persiapan yang sepatutnya termasuk tekong bot.

“Kalau benda yang di saat-saat akhir ni, takut pula tekong pergi kenduri kahwin 30 kilometer daripada lokasi boat house,” kata Ujang sambil ketawa.

Segala maklumat tentang operasi boat house, kata Ujang, boleh didapati di Facebook beliau. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button