Kapal terbang moden, tetapi masih guna teknologi 1960-an
SUSULAN kehilangan pesawat milik Sriwijaya Air Indonesia yang terhempas semalam, penggunaan kota hitam sejak 1960-an itu dikritik.
Masalah tersebut terus dihadapi mana-mana pihak berkuasa di seluruh dunia apabila berhadapan dengan insiden berkaitan pesawat.
Ini kerana, pesawat yang baharu dibuat hari ini pun dikatakan masih lagi menggunakan teknologi rakaman yang perlu dicari apabila kapal terbang hilang.
Sedangkan, dalam dunia dengan anjakan dalam teknologi komunikasi, pihak berkuasa masih lagi perlu mencari kotak hitam dalam pesawat yang hilang atau terhempas.
Lebih malang jika terjadi lagi masalah seperti yang terjadi kepada pesawat milik Malaysia Airlines (MAS), MH370 yang tidak diketahui lokasinya.
Sehingga kini tiada siapa yang berjaya mengesan lokasi MH370, sedangkan dengan teknologi pada hari ini, segala rakaman perbualan dan aktivit dalam kokpit boleh diakses secara terus dari syarikat pengendali.
“Kotak hitam adalah teknologi 60an. Sepatutnya teknologi terkini, data sudah boleh dihantar terus kebumi secara ‘real time’ melalui satelit dan disimpan di pusat data. Inilah juga masalah pencarian MH370 sehingga sekarang.
“Bukan soal teknologi, tetapi soal peraturan. Peraturan melibatkan banyak pihak, termasuk ICAO, ITU dan Organisasi Pilot antarabangsa yang bimbang tentang soal privasi mereka.
“Zaman telah berubah. Masalah yang sama terus berulang bukan kerana soal penciptaan tetapi soal kesepakatan.”
Demikian kata bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam satu hantaran Facebooknya hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas insiden pesawat dari Jakarta ke Pontianak, Indonesia yang terhempas semalam selepas beberapa minit berlepas meninggalkan Lapangan Terbang Soekarno Hatta, Jakarta.
Menurut jurucakap Kementerian Perhubungan (Pengangkutan) Indonesia, pesawat komersial itu berlepas jam 2.36 petang waktu Indonesia Barat, dan dijadualkan tiba di Pontianak, jam 3.15 jam waktu Indonesia Timur (4.15 waktu Indonesia Barat).
Dalam pada itu, Ahmad Shabery turut menzahirkan rasa sedih terhadap insiden yang menimpa negara Indonesia itu apabila 62 penumpang termasuk anak kapal terkorban dalam nahas udara itu.
Beliau juga menyatakan kekesalan terhadap pembuatan kapal terbang sekarang apabila, kotak hitam terpaksa dicari lagi bagi menyiasat punca nahas.
“Turut berdukacita mendengar berita nahas pesawat Sriwijaya Air Indonesia yang terhempas bersama 62 penumpang dan anak kapal.
“Cerita pencarian kotak hitam (berwarna oren) berulang lagi. Di dalamnya tersimpan data penerbangan dan perbualan di kokpit,” ujarnya.
Terdahulu, ketika pesawat milik MAS, MH17 ditembak jatuh ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014.
Hal berkenaan menyebabkan kerajaan Malaysia ketika itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa mengadakan rundingan dengan kerajaan Belanda dan pihak pemberontak Donetsk, Ukraine untuk mendapatkan dua buah kotak hitam milih MH17. – SM