Kanak-kanak lapan tahun pula jadi mangsa buaya di Sabah
SEORANG budak lelaki berusia lapan tahun maut dalam serangan buaya ketika berenang di sebuah sungai di Lahad Datu semalam.
Komandan OCPD Lahad Datu, Rohan Shah Ahmad berkata, kejadian berlaku pada pukul 1.30 tengah hari ketika dia sedang berenang di Sungai Sabah Baru bersama seorang rakannya.
“Rakan itu, yang juga seorang budak lelaki berusia lapan tahun, segera berenang ke tebing dan berlari ke arah ayah mangsa berhampiran untuk meminta bantuan ketika kejadian serangan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dia berkata, pencarian kemudian dilakukan untuk mangsa dan dia dijumpai tidak jauh dari tempat mangsa kali terakhir dilihat pada kira-kira pukul 3.30 petang.
“Terdapat kecederaan parah di badan budak lelaki itu termasuk pinggang, dada dan perutnya,” kata Rohan, sambil menambah bahawa mayat kanak-kanak itu telah dibawa ke hospital untuk bedah siasat.
Ini adalah serangan buaya kedua yang dilaporkan di Sabah sejak seminggu yang lalu.
Dalam kejadian 4 Disember itu seorang remaja berjaya diselamatkan daripada dibaham buaya ketika dia diserang oleh reptilia itu di Sungai Mengkabong Tuaran.
Rakan-rakan mangsa telah bertindak memukul buaya yang telah menggigit remaja tersebut sehingga dia dilepaskan daripada rahang reptilia yang ganas dan liar itu.-SM