Berita

Orang Asli Kampung Bagak kesal projek bekalan elektrik tidak disempurnakan

Dijanjikan bekalan elektrik, namun sehingga kini bantuan tidak diterima.

Itulah luahan salah seorang penduduk Orang Asli Kampung Bagak, Pos Gedung, Bidor, Perak, berikutan masalah mereka yang masih belum menerima bekalan elektrik.

Menurut Bahek a/l Bagunung, penduduk di kampung berkenaan sepatutnya menerima bekalan elektrik yang dijangka siap dipasang pada bulan April tahun ini.

“Masalah kami disini ialah kami sudah empat atau lima tahun tidak dapat elektrik. Dari sebelum projek ini bermula lagi. Apabila projek ini bermula, mereka tidak siapkan sepenuhnya pula,” luahnya.

“Kalau tengok di luar rumah, wayar sudah dipasang tapi meter elektrik belum dipasang. Mereka tinggal sampai peringkat itu sahaja.

Susulan daripada itu, Bahek berkata mereka perlu menanggung rugi setiap hari kerana perlu berbelanja sebanyak RM7 atau RM8 untuk mendapatkan bekalan elektrik di rumah mereka menggunakan generator.

Beliau turut meluahkan rasa kesal kerana mereka hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM500 sahaja sebulan.

Namun, mereka perlu mengeluarkan belanja sebanyak kira-kira RM300 sebulan untuk mendapatkan bekalan elektrik yang sepatutnya dibekalkan kepada mereka.

“Saya kesal kerana kami disini tidak dapat gaji yang besar. Kami buat kerja-kerja kampung sahaja seperti menoreh getah, mencari rotan dan buluh serta menjual hasil hutan seperti petai dan durian.

“Kelengkapan elektrik yang ada di rumah ini pula hanya televisyen sahaja. Tak mampu untuk ada kelengkapan lain seperti peti ais kerana bimbang pasti belanja kami akan lebih besar,” katanya.

Bahek yang mewakili suara penduduk Kampung Bagak ini berharap agar pihak kerajaan dapat menyediakan kemudahan asas kepada mereka dengan segera.

“Kami berharap kerajaan segera datang dan lihat keadaan kami di kampung ini.” – SM

(Visited 378 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button