Kanak-kanak lapan tahun lemas
Kegembiraan sebuah rombongan dari Kota Tinggi, Johor bercuti di salah sebuah taman tema di Alor Gajah, Melaka berakhir dengan tragedi apabila seorang kanak-kanak berusia lapan tahun ditemui lemas, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritenden Arshad Abu berkata, kanak-kanak itu disahkan oleh pegawai perubatan sewaktu dibawa ke Hospital Alor Gajah bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Menurutnya, polis menerima panggilan daripada pihak hospital kira-kira pukul 3.15 petang memaklumkan mengenai seorang kanak-kanak lemas dan tidak sedarkan diri.
“Semasa kejadian lemas berlaku petugas di taman tema itu telah melakukan bantuan menyelamat dan telah membawa mangsa ke hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan.
“Kejadian berlaku di pinggir kolam berdekatan dengan pulau buatan dengan kedalaman lebih kurang satu meter.
“Hasil bedah siasat mendapati kematian kanak-kanak itu secara konsisten disebabkan oleh lemas,” ujarnya di sini hari ini.
Arshad berkata, mangsa bersama keluarganya menyertai satu rombongan komuniti dari Kota Tinggi, Johor seramai 78 orang untuk beriadah di taman tema tersebut.
Katanya, pengerusi jawatankuasa program itu memaklumkan mereka bertolak kira-kira pukul 6.45 pagi dan tiba di taman tema berkenaan pada pukul 11.00 pagi.
“Rombongan itu mengadakan aktiviti riadah hanya untuk tempoh sehari sahaja dan tidak bermalam di sini,” ujarnya.
Arshad berkata, siasatan setakat ini mendapati tiada unsur jenayah dan kes disiasat sebagai mati mengejut. – SM