Jenayah

Kanak-kanak empat tahun maut didera lima rakan kakak

Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia dipercayai didera lima rakan kakaknya di Senggarang, Batu Pahat, Jumaat lalu.

Mangsa dihantar ke hospital oleh seorang lelaki berusia 23 tahun bagi menerima rawatan pada pukul 6.45 petang sekali gus membuat laporan polis susulan kejadian tersebut.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima laporan tersebut dan bertindak berdasarkan maklumat yang diperolehi.

“Anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat telah menahan lima warga tempatan yang disyaki terlibat dalam kejadian itu.

“Mereka yang terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita berusia 15 hingga 37 tahun itu ditahan antara 12 tengah hari hingga 9.45 malam Sabtu,” katanya.

Ujar Kamarul, kes tersebut pada awalnya disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara 20 tahun atau kedua-duanya.

“Namun mangsa yang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru sejak Jumaat disahkan meninggal dunia pada 6.40 petang semalam,” katanya.

Menurut maklumat, mangsa dijaga oleh kakak kandungnya selepas ibu bapa mereka masuk ke penjara akibat kesalahan dadah.

Polis turut merampas barang yang disyaki digunakan untuk mendera mangsa antaranya pengecas telefon bimbit, sarung bantal, cadar, batang besi berukuran 29 inci, penyangkut baju, jaring penutup kipas dan batang besi penongkat motosikal.

Polis mengklasifikasikan semula kes ini akibat kematian mangsa iaitu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan semua suspek di reman seminggu bermula Ahad sehingga 31 Disember.

(Visited 298 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button