“Kamu boleh simpan YB belot tapi kerusi dimenangi tetap milik parti asal” – Shabery Cheek
AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, mana-mana parti boleh `menyimpan’ wakil rakyat yang belot tetapi mengingatkan kerusi pilihan raya yang disandang tetap menjadi milik parti dimenangi mereka sebelum ini.
Dalam hantaran di Facebook miliknya Jumaat lalu, bekas Meneteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu mengutarakan satu analogi:
“Dalam sejarah perang terutama di Timur Tengah, paling banyak cerita pilot belot. Bawa pesawat terbang melarikan diri dari perang dan mendarat di negara ketiga. Negara asal menuntut, kamu boleh simpan pilot belot, tetapi pulangkan pesawat kami.
“Politik Malaysia pun banyak cerita belot. Isunya sama. Kamu boleh simpan YB yang belot, tetapi kerusi itu tetap milik parti yang dimenangi dulu. Rasanya tuntutan itu adil dan munasabah!.”
Semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) berusia 22 bulan diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu, sejumlah 14 wakil rakyat UMNO keluar parti dan menyeberang ke parti lain.
Keperitan yang ditanggung UMNO setelah Barisan Nasional (BN) yang ditunjanginya semasa pilihan raya umum ke-14 memenangi 79 kerusi Parlimen itu menyebabkan kerusi milik parti itu berbaki 41 selepas sebilangan wakil rakyatnya lompat parti.
Contohnya, sehari selepas Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menang jawatan presiden UMNO pada Jun 2018, Ahli Parlimen Masjid Tanah keluar UMNO. Ia diikuti wakil Jeli, Kimanis dan Labuan.
Disember 2018 menyaksikan 11 Ahli Parlimen – lima dari Sabah – keluar UMNO kerana tidak puas hati terhadap kepimpinan parti itu.
Pada Februari 2019, BERSATU menerima ahli-ahli parlimen Larut, Tasek Gelugor, Tanah Merah, Mersing dan Sabak Bernam serta Hulu Terengganu sebagai ahli parti.
Pada Mac 2019, wakil rakyat UMNO dari Beaufort, Beluran, Kudat dan Libaran juga menyertai Bersatu. Wakil Sipitang menyertai Bersatu pada September 2019.
Pada Jun 2018, empat parti komponen BN di Sarawak- Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Sarawak United Peoples’ Party (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Progressive Democratic Party (PDP)- menarik diri daripada BN setelah bersama sejak 1974.
Di Sabah juga menyaksikan parti-parti komponen BN – Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation (Upko) – meninggalkan gabungan itu.
PBS dan PBRS berganding bahu dengan Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (Star) bagi menubuhkan gabungan pembangkang yang dikenali sebagai Gabungan Bersatu Sabah (GBS).
Secara keseluruhannya, GBS ada tiga anggota parlimen. Upko yang mempunyai satu kerusi parlimen, bekerjasama dengan Warisan.
Sementara BN lumpuh di Sarawak, di Sabah pula UMNO masih mempunyai seorang anggota parlimen dari Kinabatangan. – SM