Politik

Kami tak ada isu, biar mahkamah tentukan kes, kata PM

TIDAK perlu diadu-domb antara Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Memang kedua-dua individu figura politik negara dan Ismail Sabri terus terang menyifatkan hubungannya dengan Ahmad Zahid sebagai amat rapat.

Namun Perdana Menteri tegas menolak sebarang persepsi yang cuba mengaitkan beliau kepada perjalanan perbicaraan rasuah Presiden UMNO itu.

“Presiden dengan saya tiada isu. Saya tiada isu. Saya kenal Presiden dah lama, waktu saya sekolah lagi,” kata Ismil Sabri.

Katanya lagi, “Presiden macam abang saya dan kawan baik. Kalau saya ponteng sekolah pun tumpang tidur bilik dia.

“Saya kenal keluarga dia. Isu peribadi tidak timbul. Orang luar sahaja yang bercakap soal pecah dalam UMNO ini.

“Jadi kalau orang nak kata saya ‘drag’ (heret) kes dia, sampai dia kena, tak kena; itu kita tak tahu. Itu (hak) mahkamah pun.

“(Hanya) Mahkamah boleh buat keputusan,” kata Ismail kepada FMT dan beberapa media lain dalam temubual sempena setahun Keluarga Malaysia.

Ismail ditanya mengenai spekulasi bahawa beliau mengambil kira “pergolakan dalam parti” dan isu beliau dengan Zahid dalam perkiraan pilihan raya, kononnya kes-kes mahkamah akan “diheret” untuk peluang beliau sendiri.

Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur iaitu 12 kes pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akal Budi.

 

Beliau juga berdepan 33 tuduhan kes rasuah di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan tujuh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, berkaitan Sistem Visa Luar Negara.

Beliau mengaku tidak bersalah.

Hubungan Zahid dan Ismail menjadi tumpuan dan sering mencetuskan pelbagai spekulasi kerana ini kali pertama dalam sejarah Umno, seorang naib presiden Umno menjadi perdana menteri, bukannya presiden parti.

Dua pemimpin itu turut menjadi fokus ketika Umno mempersiapkan diri untuk menghadapi PRU15 dan kemudiannya pemilihan parti yang terbuka kepada segala kemungkinan mengenai persaingan yang boleh berlaku di peringkat tertinggi parti.

Pada wawancara itu, Ismail berpegang kepada pendirian UMNO-Barisan Nasional untuk bertanding secara bersendirian pada PRU15.

“Parti sudah buat keputusan. Kita akan ‘go solo’. Maknanya, kita akan pergi sendiri. Kita akan bersama dalam kerajaan seperti ini sehingga pilihan raya. Setakat hari ini lah. Tapi ‘direction’ parti saya tak boleh nak cakap lebih. Sebab saya nombor tiga (dalam parti sebagai naib presiden), saya ada bos. Soalan itu perlu (diajukan) kepada presiden parti saya.”

Kerajaan pimpinan Ismail dibentuk Ogos tahun lalu dengan sokongan Barisan Nasional, Perikatan Nasional, dan beberapa parti dari Sabah dan Sarawak serta Ahli Parlimen bebas.

UMNO secara rasmi menolak kerjasama dengan Bersatu yang menjadi tonggak PN bawah pimpinan Muhyiddin Yassin.

Hubungan UMNO dengan PAS yang juga parti komponen PN, juga disifatkan renggang ketika ini. – SM

 

(Visited 228 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button