NegeriRencah HidupTravel

Kaki Bukit, Wang Kelian mampu diintegrasi jadi produk pelancongan

Terdapat pelbagai produk menarik sedia ada di sekitar Kaki Bukit dan Wang Kelian di Perlis yang mampu diintegrasikan sebagai satu produk pelancongan yang terbaik.

Pekan Kaki Bukit mempunyai tarikan-tarikan tersendiri berunsurkan sejarah, tempat ibadat, keunikan dan keindahan semulajadi.

Selain itu, keunikan dan kepelbagaian biologi di Taman Negeri Perlis khususnya Wang Kelian mempunyai potensi yang sangat tinggi untuk menarik pelancong dari dalam dan luar negara.

Misalnya, jalan Tasik Meranti berpotensi untuk dijadikan sebagai ‘heritage trail’ bagi pengemar ‘hiking’ atau berbasikal untuk menikmati keindahan hutan hujan tropika selain boleh menjalankan hobi memerhati hidupan liar.

Demikian dipersembah maklumkan kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena Sesi Taklimat Kemajuan Projek Warisan Budaya di Wang Kelian oleh Team Roots & Shoots Malaysia yang disampaikan oleh Ketua Projeknya, Peter Ong di di Kompleks Taman Negeri Perlis, Wang Kelian.

Mengiringi bagi melihat sendiri perkembangan pelaksanaan projek buku, pameran dan dokumentari oleh pihak Roots & Shoots Malaysia melalui pengumpulan maklumat gambar-gambar dan Teaser video yang ditayangkan tersebut ialah anakanda sulung baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Exco Pelanconan Negeri, Wan Badariah Wan Saad.

Sementara itu, Pengarah Perhutanan Negeri, Ag. Shaffie Ag. Ahmadni melaporkan tentang pembangunan Wang Kelian dan secara khususnya pembangunan Pusat Kepelbagaian Biologi Negara Wang Kelian oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perlis melalui peruntukan daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bermula tahun 2021–2023.

Objektif utama penubuhan pusat ini ialah untuk merungkai kepelbagaian biologi di Taman Negeri Perlis dan seterusnya didokumenkan yang akan menjadi bahan rujukan kepada para penyelidik di masa hadapan.

 

Pusat ini menggalakkan aktiviti penyelidikan dan pembelajaran digiatkan dan untuk menjadikan Wang Kelian sebagai rujukan sumber kepelbagaian biologi di zon utara Tanah Air.

Tuanku Syed Faizuddin Putra terdahulu daripada itu berkenan melawat empat lokasi menarik iaitu Tokong Kaki Bukit, Pekan Sayur, Jalan Tasik Meranti dan Kem Hujan-Hujan Gua Kelam.

Raja Muda turut berkenan ke kedai makan Dapur Kak Neng yang beroperasi di Kampung Wang Kelian yang memiliki panorama indah berlatar belkangkan sawah padi dan Banjaran Nakawan.

Selain menyediakan menu makanan yang enak, kedai makan ini turut menjadi “port” memerhati burung bendang dan burung-burung yang menggunakan kawasan banjaran ini sebagai laluan mereka.

Selain daripada itu baginda juga berkenan singgah menyaksikan aktiviti ‘Jiwa Murni’ yang disempurnakan oleh Rejimen 504 Askar Wataniah diketuai oleh Timbalan Komandernya, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji melakukan gotong-royong membersihkan longgokan sampah yang tersangkut dalam sungai di salah sebuah gua di sekitar kawasan Kaki Bukit tersebut bagi sama-sama menjayakan inisiatif ‘Perlis Hebat! Rakyat Hidup Bersih’!. – SM

(Visited 750 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button