fbpx
Politik

Kadir Jasin buat lawak cadang Anwar jadi menteri tugas-tugas khas

DALAM tulisan terbaharu tokoh wartawan dan kini penasihat media kepada Perdana Menteri, Kadir Jasin mencadangkan supaya Anwar Ibrahim dilantik sebagai menteri tugas-tugas khas berikutan cadangan untuk rombakan Kabinet.

Jika ini berlaku ia akan menjadi bahan jenaka abad ini apabila buat pertama kali suami dan isteri berada di dalam barisan Kabinet negara. Kecuali Timbalan Perdana Menteri diserahkan kepada orang lain bagi menggantikan Wan Azizah barulah ia tidak akan menjadi jenaka lebih hebat daripada maharaja lawak mega.

Persoalannya mahukah Anwar menjadi menteri tugas-tugas khas sahaja. Bagi saya jika beliau menerimanya ia satu perkara yang memalukan dirinya sendiri. Dan lebih buruk lagi beliau perlu mendengar arahan daripada isterinya dan tentunya tugasan yang ditentukan oleh Dr. Mahathir Mohamad sendiri selaku Perdana Menteri.

Saya membaca tulisan A. Kadir Jasin di dalam blognya dengan penuh minat kerana naratifnya cukup sedap, tetapi ayat terakhirnya sangat kelakar sehingga saya hampir tersembur teh O yang baharu dihirup.

Tapi apa sahaja boleh berlaku di dalam kerajaan Pakatan Harapan dan Malaysia Baharu.


Jika Kadir mencadangkan Anwar sebagai menteri tugas-tugas khas, saya juga mahu mencadangkan supaya Nurul Izzah anak kepada Anwar dan Wan Azizah turut sama dimasukkan ke dalam kabinet yang baharu.

Saya pun tidak pasti kenapa beliau begitu mendiamkan diri selepas Pilihan Raya Kecil Port Dickson yang membolehkan bapanya kembali ke Parlimen, tetapi Nurul Izzah memang mewarisi kewibawaan dan tokoh dari bapanya.

Jika selepas ini Anwar menjadi Perdana Menteri, sekali lagi Nurul Izzah tidak akan mendapat tempat dalam barisan kabinet.

Jadi apa salahnya dari awal lagi dimasukkan beliau ke dalam kabinet baharu, sekurang-kurangnya apabila Nurul Izzah membukti kemampuannya rakyat tidak lagi mempertikaikan kewajaran beliau dilantik sebagai timbalan menteri setidak-tidaknya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button