MENJUAL vaksin Covid-19 dengan harga RM450 bagi warga tempatan dan RM800 untuk warga asing menerusi laman Facebook dan panggilan telefon.
Itu penipuan yang dilakukan dua suspek yang ditahan polis pada 16 Jun lalu hasil risikan dan aduan yang dibuat seorang pegawai perubatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md. Din berkata, kedua-dua suspek itu ialah seorang lelaki dan wanita berusia 26 dan 27 tahun.
“Berdasarkan siasatan awal, suspek membuat penawaran pakej vaksin tersebut melalui laman sosial Facebook dan panggilan telefon
“Pelanggan yang berminat kemudian akan didaftarkan ke dalam Program Vaksinasi Covid-19 Selangor (SCVP) melalui aplikasi Selangkah.
“Mereka yang berminat kemudian perlu menunggu nama mereka tersenarai sebagai seorang daripada penerima vaksin melalui aplikasi tersebut sebelum membuat pembayaran,” katanya.
Menurut Mohd Kamarudin, suspek mendakwa kira-kira 30 orang telah dihubungi berkenaan pakej vaksinasi itu dan 10% telah menyatakan minat untuk membeli pakej yang ditawarkan.
Jelasnya, semakan mendapati sehingga kini, pendaftaran program SCVP hanya dihadkan kepada syarikat sahaja dan masih belum dibuka kepada individu persendirian.
“Kedua-dua suspek kini direman selama dua hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai digesa untuk sentiasa peka dan cakna dengan inisiatif vaksinasi yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan bagi mengelak menjadi mangas sindiket penipuan. -SM