Belang Bertempat

Jual beli sokongan punca merosot indeks rasuah negara

AKHIRNYA hari itu sudah tiba. Jual dan beli sokongan ibarat membeli ikan di pasar.

Bukan lagi satu perkara yang sulit, tetapi telah menjadi hingar-bingar seperti di pasar borong. Tawar menawar dibuat secara terbuka. Umpan dipasang terang-terangan.

Pentadbiran negara yang semakin bobrok. Jawatan timbalan perdana negeri sengaja dikosongkan supaya ia menjadi umpan dan modal untuk jual beli sokongan.

Begitu juga dengan jawatan di dalam GLC sama ada di negeri mahupun pusat, menjadi sogokan terang-terangan untuk mendapatkan sokongan kepada kerajaan.

Segala kelebihan dipergunakan termasuk kelulusan projek secara langsung, pengguguran kes berprofil tinggi dan sebagainya turut menjadi bahan sogokan.

Walaupun penularan kes Covid-19 ibarat api yang sedang marak, tidak mampu menghalang orang politik daripada meredah lautan api itu dengan terus mengadakan pertemuan dan perbincangan sulit yang menyumbang kepada penularan kes.

Jika semua itu telah berlaku di negara tetangga kira-kira 10 tahun lalu, kini ia berlaku di negara kita.

Ular lidi menelan ular sawa kerana kebolehan menarik sokongan, bahkan naga dan harimau tumpas dengan ular lidi yang licik menyusun langkah.

Ketika kerajaan yang hanya berpegang kepada kelebihan satu atau dua kerusi majoriti sahaja, memang tidak ada lain yang berlegar di kepala para pemimpin, selain untuk mengekalkan jawatan.

Sementara berjawatan juga yang bila-bila sahaja boleh melayang, masing-masing terdesak dan tergesa-gesa merebut peluang mencipta kekayaan sehingga segala batas undang-undang dimanipulasikan.

Projek-projek tidak wajar diluluskan, ketika rakyat terpaksa mengikat perut demi meneruskan kehidupan di dalam situasi getir ini.

Sogokan jawatan kepada Ahli Parlimen bagi membentuk serta mengekalkan kuasa Perikatan Nasional (PN) didakwa antara faktor terbesar yang menyumbang kepada kemerosotan kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir mendakwa kemerosotan indeks berkenaan perlu dipandang serius oleh kerajaan apatah lagi selepas Malaysia telah mencapai prestasi terbaik pada 2019 dengan peningkatan 10 anak tangga untuk berada di tangga ke 51 berbanding tangga ke 61 pada 2018.

Namun katanya, prestasi baik semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) gagal diteruskan oleh Perikatan Nasional (PN) yang dilihat tidak memiliki iltizam yang jelas dalam membasmi rasuah.

“Penurunan CPI ini sudah pasti akan memberi kesan langsung kepada keyakinan pelabur untuk melabur di Malaysia dan sekaligus meletakkan beban berganda dalam usaha Malaysia memulihkan ekonomi.

“Isyarat jelas hilangnya keyakinan pelabur terbukti melalui dapatan data daripada Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) 2020 yang menunjukkan kemerosotan pelaburan langsung asing (FDI) amat ketara iaitu penurunan sebanyak 68 peratus dengan hanya mampu menarik pelaburan sekitar US$2.5 bilion.

“Tidak dapat disangkal lagi sogokan jawatan kepada Ahli Parlimen bagi mengekalkan kuasa PN menjadi faktor terbesar disamping keputusan kehakiman dalam ‘melepaskan tanpa dibebaskan’ terhadap kes rasuah berprofil tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Malaysia dilaporkan berada di kedudukan ke 57 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) iaitu jatuh enam anak tangga berbanding tahun lalu.

Pertubuhan antirasuah antarabangsa berkata, disebalik krisis kesihatan dan ancaman global yang dihadapi seluruh dunia, Malaysia pula menghadapi krisis rasuah selepas dua tahun berturut-turut mencatatkan peningkatan sejak 2018 ekoran agenda reformasi institusi di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Untuk tahun 2020, Malaysia mendapat 51 mata dan berada di kedudukan 57 berbanding tempat 51 (dengan markah 53 mata) pada 2019.

Sementara itu, Akmal yang juga ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata, kerajaan PN dilihat tidak mampu membawa sebarang reformasi institusi. Malah ia ditambah buruk dengan tindakan kerajaan yang tidak telus dalam pengurusan projek-projek bernilai tinggi seperti cara pengendalian pampasan bagi membatalkan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR).

Mungkinan indeks CPI bagi tahun 2021 akan terus merudum jatuh sejajar dengan langkah Proklamasi Darurat yang menyebabkan Parlimen digantung sekaligus menggagalkan proses semak dan imbang.

(Visited 465 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button