Nasional

Jom berbuka puasa secara potluck di Dataran 1 Malaysia Klebang

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 15 April – UMNO Tangga Batu akan menganjurkan majlis berbuka puasa Iftar Jamaie di persisir pantai
Dataran 1 Malaysia Klebang dekat sini esok.

Ketuanya, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, seluruh masyarakat di Parlimen Tangga Batu diminta
beramai-ramai untuk menghadiri majlis berbuka puasa yang akan diadakan di kawasan tempat tumpuan pelancong
itu.

Menurutnya, ini adalah kali pertama program berbuka puasa buat julung-julung kali diadakan di kawasan
persisir pantai kawasan berkenaan.

Beliau berkata, majlis tersebut diadakan bertujuan untuk memperkukuhkan keakraban dalam masyarakat agar
dapat menyemai budaya murni dan kebersamaan menghayati bulan puasa dengan penuh barakah.

“Sehubungan itu, saya menjemput dan mempelawa semua orang Melaka khususnya warga Parlimen Tangga Batu
untuk sama-sama kita berbuka puasa secara santai dan pada masa yang sama dapat mengeratkan hubungan
silaturrahim sesama kita.

“Kita bawa makanan secara potluk dan bersantai bersama dalam menikmati juadah berbuka puasa, kita eratkan
silaturahim dan ukhwah sesama kita. Ada hikmahnya apabila berbuka puasa beramai-ramai.

“Jangan lupa bawa sejadah bersama, bolehlah kita solat Maghrib berjemaah. Besar pahalanya apabila dapat
solat secara berjemaah,” ujarnya ketika ditemui di sini semalam.

Mohamad Ali yang juga Timbalan Speaker Dewan Negara berkata, pihaknya akan menyediakan tempat untuk
menunaikan solat Maghrib serta air balang, minuman panas, mee goreng dan buah kurma.

Katanya, majlis yang akan diadakan itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memastikan
penjarakan sosial serta memakai pelitup muka.

Sehubungan itu katanya, beliau meminta orang ramai untuk hadir dan berkumpul di kawasan persisir pantai
berkenaan bermula pukul 6.30 petang.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button