Jika saya tidak curi rumah anda, orang lain akan curi – pendatang Yahudi
“Sekiranya saya tidak mencuri rumah anda, orang lain akan mencurinya.”
Kata-kata itu dilemparkan oleh seorang peneroka haram Yahudi kepada pemilik rumah berketurunan Palestin, Mona al-Kurd dalam percubaannya merampas rumah milik keluarga wanita itu.
Wanita itu berhadapan dengan pendatang Yahudi tersebut selepas pemuda itu memasuki rumahnya di kawasan Sheikh Jarrah iaitu kawasan Palestin yang dijajah Israel, Baitulmuqaddis Timur.
Pertengkaran antara pendatang Yahudi dan wanita Palestin tersebut dirakam dalam video oleh seorang aktivis Palestin Tamer Maqalda sebelum tercetusnya serangan antara Israel dan Hamas selepas penduduk Palestin menentang tindakan kerajaan zionis merampas rumah dan tanah milik penduduk Palestin di Sheikh Jarrah.
Al-Kurd yang berusia 22 tahun berhadapan dengan pendatang Israel itu di taman rumah milk keluarganya.
Dalam video tersebut, al-Kurd terdengar memberitahu pendatang Yahudi berkenaan dalam bahasa Inggeris: “Jacob, anda tahu bahawa ini bukan rumah anda.”
Pendatang Yahudi itu menjawab dengan aksen Amerika yang pekat: “Ya, tetapi jika saya pergi, anda tidak akan kembali, jadi apa masalahnya? Mengapa kamu berteriak pada saya?”
“Anda mencuri rumah saya!” tegas al-Kurd.
“Sekiranya saya tidak mencurinya, orang lain akan mencurinya,” jawab Jacob.
“Tidak ada sesiapa yang mengizinkan rumah saya dicuri!” jerit al-Kurd.
Jacob kemudian mengatakan dalam bahasa Ibrani: “Ini bukan milik saya untuk mengembalikannya.”
Beberapa percubaan untuk merampas rumah penduduk berketurunan Palestin berlaku di Sheikh Jarrah yang terletak di Jerusalem Timur atau dikenali sebagai kawasan Baitulmuqadis Timur bagi umat Islam.
Beberapa siri demonstrasi oleh rakyat Palestin untuk memprotes tindakan kerajaan Israel agar mereka mengosongkan kediaman mereka yang disifatkan sebagai lanjutan pembersihan etnik Palestin yang bermula dengan Nakba pada tahun 1948.-SM