Nasionalpilihan

Jenazah Sarjan Faridah yang meninggal dunia di Lubnan diterbangkan ke Kedah

Jenazah Sarjan Faridah Abd Rahman, anggota Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), telah selamat diterbangkan ke Pendang, Kedah menggunakan pesawat TUDM kira-kira pukul 7.04 pagi ini.
Jenazah Allahyarham tiba di Pangkalan Udara Subang pukul 4.56 pagi daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kemudiannya jenazah disembahyangkan di Surau Al-Muhajirin, Pangkalan Udara Subang selepas selesai solat Subuh.
Panglima Angkatan Bersama Leftenan Jeneral Datuk Noor Mohd Akmar Mohd Dom dan Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim turut bersama-sama menunaikan solat jenazah serta memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Faridah.
Allahyarham meninggal dunia akibat serangan jantung pada Sabtu lalu dan berdasarkan keputusan awal bedah siasat pada 20 Mei lalu mengesahkan Allahyarham meninggal dunia akibat serangan sakit jantung.
Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkan, ia berasaskan keputusan bedah siasat Allahyarham yang dijalankan pihak Hospital Hammoud, Saida, Lubnan.
Majlis Penghormatan jenazah Allahyarham Faridah dilaksanakan mengikut tradisi ketenteraan oleh pihak UNIFIL bertempat di Lapangan Terbang Antarabangsa Rafik Hariri pada Khamis.
Tetamu kenamaan yang hadir memberikan tabik hormat ketika keranda jenazah diusung dan diletakkan di tengah-tengah medan dibaluti bendera UNIFIL.
Majlis tersebut dihadiri Komander UNIFIL, Leftenan Jeneral Aroldo Lazaro; Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Azri Mat Yaacob; Panglima 5 Briged (LAF), Brigedier Jeneral Ahmad Saadeh; Komander Sektor Barat, Brigedier Jeneral Enrico Fontana serta Komander MALBATT 850-11, Kolonel Burhan Sagoni.
Markas Angkatan Bersama memaklumkan, upacara dimulakan dengan pengurniaan pingat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pingat Keberanian Tentera Lubnan (Gangsa) kepada Allahyarham Faridah. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button