
Jay Iswazir dan Cristina Suzanne antara pelakon Teater Keluang Man bakal
PEMINAT siri animasi legenda Keluang Man akhirnya mendapat jawapan yang dinantikan! Studio Sedar Ruang hari ini mendedahkan barisan pelakon yang akan membawakan watak-watak ikonik dalam Teater Keluang Man, sekaligus menamatkan teka-teki siapa yang akan menjayakan pementasan epik ini.
Figura utama yang akan menghidupkan karakter Keluang Man/Borhan adalah Han Zalini, manakala Cristina Suzanne memegang watak Suri, Jay Iswazir sebagai Samsir, dan Azman Hassan sebagai Cikgu Ahmad.
Pementasan pertama seumpamanya ini diarahkan oleh pengarah prolifik, Walid Ali, yang sebelum ini dikenali dengan sentuhan kreatif dalam teater tempatan dan antarabangsa. Pengalaman dan bakat beliau menambah nilai istimewa dalam merealisasikan naskhah ikonik ini.
Nostalgia Keluang Man Kini di Pentas Teater
Diadaptasi daripada siri animasi klasik hasil karya Allahyarham Kamn Ismail, teater ini membawa kembali kehangatan era 90-an dengan kisah Borhan, seorang pesakit di Hospital Bahagia Tumpoi yang di sebalik kekurangannya, muncul sebagai pejuang keadilan pada waktu malam—Keluang Man! Dengan caranya yang tersendiri, Keluang Man membanteras jenayah dan menjadi wira tempatan yang dekat di hati peminat.
“Saya amat berbesar hati diberikan hakcipta Keluang Man untuk dipersembahkan di pentas teater. Adaptasi ini merupakan yang pertama seumpamanya dan mendapat sokongan penuh daripada Kelab Keluang Man. Saya teruja untuk mengimbau nostalgia 90-an ini bersama peminat setia,” kata Walid Ali.
Bakal dipentaskan di Studio Sedar Ruang, Shah Alam, Teater Keluang Man bukan sekadar sebuah pementasan—ia adalah satu pengalaman epik yang menghidupkan semula nostalgia adiwira tempatan paling ikonik!
Untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif, ikuti Teater Keluang Man di Instagram dan TikTok. Nantikan pengumuman seterusnya April nanti!