Negeri

Jawatankuasa komuniti perlu pantau penularan Covid-19 – Raja Muda Perlis

Jawatankuasa komuniti setempat sedia ada di seluruh negeri Perlis perlu segera digerakkan supaya berperanan sebagai penyelaras aktiviti pencegahan wabak dan pemantauan amalan norma baharu dalam komuniti masing-masing berikutan tren penularan wabak Covid-19 yang kian meningkat di Perlis sejak akhir-akhir ini.

Pemantauan dan had aktiviti pergerakan keluar masuk para pelawat dan penduduk setempat perlu diperketatkan lagi selain sentiasa memastikan komuniti ini turut mengamalkan penjarakan sosial, pemakaian pelitup separuh muka dan kebersihan diri.

Selain itu, ketua-ketua jawatankuasa komuniti setempat tersebut juga perlu mengingatkan semua supaya jangan sesekali bersikap sambil lewa atau cuai serta perlu menghebahkan tentang langkah-langkah pencegahan Covid-19 ini dari masa ke semasa.

Pada masa yang sama, berikanlah motivasi kepada ahli masyarakat supaya sentiasa mematuhi SOP dan kelaziman baharu demi kebaikan semua, terutamanya keluarga tersayang.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sempena program Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke-38 bagi tahun 2021 yang diadakan di Masjid Nurus Salam, Behor Mentalon, Guar Sanji dekat Arau.

Baginda turut menyampaikan bantuan kepada 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid berkenaan yang diserahkan kepada amilnya Aziz Ibrahim untuk diagihkan. Setiap seorang menerima RM700 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM21,000.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Bahagian Pembangunan Wakaf, Hartanah dan Mal MAIPs, Mohd Nazri Md Rejab.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim yang turut hadir memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ada kegiatan berisiko seperti aktiviti berkumpulan yang tidak dibenarkan atau tidak mematuhi norma baharu.

“Laporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat kes disyakki Covid-19 di kawasan masing-masing”, tegas beliau.

Dalam perkembangan lain, berdasarkan data terkini pada 10 Ogos lalu, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.07 di mana negeri yang mencatatkan nilai RT tertinggi adalah Perlis dengan nilai RT 1.37 diikuti Kelantan (nilai RT 1.21) dan Sabah (nilai RT 1.16).

(Visited 63 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button