fbpx
Nasional

Jangan taksub dan rosakkan nama Dr. Zakir Naik

NAMPAK gayanya apa sahaja yang berkait dengan pendakwah terkenal Dr. Zakir Naik akan menjadi bahan negatif oleh beberapa pihak yang seolah-olah melihat beliau ini seorang terlalu buruk imejnya.

Walhal Dr. Zakir sejak kebelakangan ini tidak ada pun bersuara apa pun apatah lagi aktif berceramah di sana sini seperti sebelum ini.

Tetapi mungkin kerana ada pihak terutama penganut bukan Islam yang melihat apa yang dilakukan oleh Dr. Zakir ini seolah-olah satu kesalahan kerana bagi mereka ia mungkin melibatkan penghinaan agama walaupun kita faham ia sebagai perbandingan agama.

Kini timbul polemik terbaru melibatkan Dr. Zakir apabila heboh mengenai soalan peperiksaan subjek Hubungan Etnik Universiti Malaysia Perlis (UMP) yang menggelar penceramah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik sebagai ikon dunia Islam yang tersiar di media sosial.

Tangkap layar mengenai soalan itu telah dimuat naik Naib Presiden MIC Sivarraajh Chandran di Facebook semalam memaparkan soalan yang terkandung dalam kertas peperiksaan modul Hubungan Etnik UMP.

Berdasarkan tangkap layar itu, soalan itu tertulis seperti berikut. “Zakir Naik merupakan salah satu ikon dalam dunia Islam, beliau banyak berjasa dalam menyebarkan Islam yang sebenar dan mengikuti al-Quran dan Sunnah Rasulullah. Beliau mampu berhujah dan mampu menjawab setiap pertanyaan yang diajukan kepadanya dengan baik. Namun begitu di Malaysia, beliau tidak lagi dibenarkan untuk menyampaikan dakwah. Pada pendapat anda sebagai rakyat Malaysia, mengapakah hal ini boleh berlaku?”

Jawapan pelbagai pilihan disediakan kepada pelajar seperti berikut:

1) Rakyat Malaysia yang malas mengambil tahu.

2) Rakyat Malaysia yang mudah rasa terancam tanpa usul periksa.

3) Rakyat Malaysia yang bersifat menuruti sahaja tanpa usul periksa.

4) Rakyat Malaysia yang bodoh tentang agama masing-masing.

Dan seperti biasa perkara ini turut mendapat kritikan keras dari Timbalan Menteri Pulau Pinang yang turut menyelar perkara ini.

Lebih menarik lagi apabila Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor turut menyarankan supaya pengurusan universiti lebih bertanggungjawab dengan memantau silibus pengajaran termasuk soalan-soalan peperiksaan.

Ujar beliau, sentimen taksub kepada tokoh tertentu tidak harus dibiarkan menerjah masuk ke dalam dunia pendidikan kerana boleh meracuni pemikiran pelajar dan mengeruhkan suasana dalam hubungan sesama warganegara.

“Terus terang saya mengaku, saya adalah salah seorang pengagum Dr. Zakir Naik sebagai seorang tokoh intelektual yang luar biasa dan seorang pendakwah Islam kontemporari yang amat berwibawa. Kebolehan beliau dalam berhujah untuk menegakkan keyakinannya kepada agama Islam tidak perlu dipertikaikan lagi.

“Namun kekaguman ini tidak seharusnya mendorong kepada melakukan tindakan tidak rasional sehingga hilang kepekaan kepada keperluan memupuk serta memelihara hubungan baik dan harmoni antara masyarakat Malaysia berbilang kaum dan berbeza dari sudut agama, etnik dan budaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Wan Salim, institusi pendidikan tinggi perlu berperanan ke arah menyatupadukan rakyat, bukannya mendorong kepada perpecahan dan permusuhan antara mereka.

Dalam hal ini mungkin ada juga kebenaran kerana soalan sedemikian tidak berapa sesuai untuk ditanya dalam subjek Hubungan Etnik dan mungkin juga senarai jawapan pula dilihat agak provokasi.

Dr. Zakir tidak salah dalam hal ini malah beliau juga tidak tahu menahu tentang hal ini. Kita faham dan terima beliau adalah tokoh pendakwah antara yang terhebat namun janganlah kerana nila setitik nama beliau terus rosak dan diperlekehkan.

Penulis juga setuju supaya beliau diberikan ruang untuk berceramah seperti dahulu kerana banyak ilmu yang boleh diperolehi.

Namun janganlah diberi ruang untuk dilakukan kesalahan melibatkan nama Dr. Zakir kerana ada pihak yang akan berterusan memusuhinya kerana kebenaran yang cuba disampaikannya. -SM

Show More

Related Articles

Back to top button