Jangan politikan bantuan Ebit Lew untuk banduan
BANTUAN yang dihulurkan oleh pendakwa bebas Ebit Lew kepada banduan tidak seharusnya dipolitikan dengan tujuan untuk memberi gambaran buruk berbanding maksud asal pertolongan yang dihulurkan.
Jabatan Penjara Malaysia dalam satu kenyataan berkata, bantuan yang disumbangkan oleh Ebit merupakan amalan dan kerjasama yang biasa dijalin antara pihak pihaknya dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau individu persendirian yang tampil untuk memberi bantuan.
“Jabatan Penjara mengucapkan setinggi penghargaan kepada Ustaz Ebit Liew yang tampil membantu dan memberikan sumbangan kepada pihak Penjara atas semangat kesukarelaan.
“Jabatan Penjara Malaysia sentiasa mengalu-alukan kerjasama sebegini bagi meringankan beban kerajaan untuk menangani pandemik COVID-19 yang melanda institusi penjara,” katanya.
Menurutnya, pihak jabatan sangat bersyukur dan bernasib baik kerana terdapat banyak NGO dan orang perseorangan yang tampil menhulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk untuk membantu penjara yang terkesan dengan jangkitan Covid-19.
Jabatan Penjara Malaysia memberikan jaminan bahawa pihak pengurusan Penjara sentiasa mengambil berat dan prihatin terhadap hal ehwal kebajikan warga Jabatan yang berada di bawahnya.
Semalam, Ebit yang juga ahli perniagaan dalam satu perkongsian di Facebooknya berkata, dia menerima surat daripada Jabatan Penjara dan Penjara Pokok Sena yang mohon bantuan untuk warga penjara yang dikuarantin berikutan pandemik Covid-19.
“Terus bergegas belikan dan uruskan lori untuk penghantaran ke penjara. Saya doakan lori bantuan selamat sampai. Saya tak kesana,” kata Ebit.
Beliau menyumbang keperluan untuk 200 orang berupa sebuah tilam, bantal, tuala dan cadar setiap seorang.
Selain itu dia juga menyumbang 10 buah kipas, pelindungan muka sebanyak 2,000 kepong dan barang-barang makanan dan barang asas.
“Ya Allah selamatkanlah dan permudahkanlah buat warga penjara pokok sena dan Alor setar. Ya Allah selamatkan saudara kami di seluruh Sabah. Selamatkanlah kami semua ya Allah.
“Semua saudara kami yang sakit sembuhkan. Yang dijangkiti pulihkan. Yang kehilangan keluarga tersayang beri kekuatan kesabaran. Buat petugas negara barisan hadapan terus kuat dan diberi kekuatan,” doa Ebit.-SM