“ADAKAH RM300, RM400 itu nilai masa hadapan anak cucu-cicit kita?” Soal bekas Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman.
Pertanyaan beliau merujuk kepada cara yang digunakan oleh Warisan bagi meraih sokongan iaitu dengan mengadakan cabutan bertuah.
Anifah berkata, jika para pengundi di Kimanis sanggup membuat keputusan memilih calon Warisan kerana cabutan bertuah yang bernilai RM300 bermakna itulah nilai masa depan anak cucu mereka.
Katanya, jangan sesekali menggadaikan masa hadapan anak bangsa Sabah hanya kerana wang dan cabutan bertuah.
“Kenapa kita sanggup menggadai masa hadapan anak cucu-cicit kita semata-mata kerana RM300, RM400, cabutan bertuah?
“Betul bukan dari kita ini semua kaya tetapi maruah kita jauh lebih penting daripada wang.
“Sebab itu hari ini adalah hari bersejarah bila rakyat Sabah tanpa mengira bangsa dan agama berkumpul bersama-sama bagi membantah PSS (Pas Sementara Sabah),” ujar beliau ketika menjadi tetamu jemputan dalam program Solidariti Bantah PSS di pekan Membakut.
Katanya, PSS dibantah kerana terlalu banyak implikasi negatif yang bakal ditanggung oleh rakyat Sabah.
“Kita tengok penyakit polio, penyakit ini telah berpuluh tahun tidak ada di negara kita tapi sekarang muncul balik. Sebab apa? Sebab ia dibawa oleh PTI (Pendatang Tanpa Izin).
“Selain itu, bila PSS diberi kepada PTI dan anak-anak mereka lahir nanti akan diberi warganegara Malaysia secara automatik.
“Anak-anak kita pun nanti kena bersaing dengan mereka,” ujar beliau.
Sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, isu utama yang diperkatakan adalah PSS.
Bagi merealisasikan suara bantahan rakyat Sabah secara keseluruhannya, hampir seribu orang berhimpun di Pekan Membakut dalam himpunan Solidariti Bantah PSS anjuran PIPA dan Sorak Sabah.
Dengan bertemakan baju hitam, mereka yang hadir begitu bersemangat mendengar ucapan dari para penceramah, sambil slogan ‘bantah PSS’ dan ‘tolak PSS’ dilaung-laungkan bagi menyemarakkan semangat.
Selain Anifah, tiga penceramah lain ialah ketua pembangkang Sabah dan Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Yong Teck Lee dan Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai.