Jangan kerana asyik kalah PRK, PH gerun dan ubah sistem pilihan raya
KUALA LUMPUR – Segala pembaharuan amalan pilihan raya perlu dilaksanakan dengan telus dengan mengambil kira kearifan tempatan dan memberi nilai kepada sistem pilihanraya ‘ala Malaysia’ yang telah terbangun semenjak kemerdekaan negara.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kekalahan dalam empat PRK tidak harus menjadi sebab untuk kerajaan Pakatan Harapan menjadi gerun sehingga mencadangkan pembaharuan pilihan raya yang sangat tidak selari dengan kepentingan demokrasi Malaysia.
Mohamad mengulas laporan kononnya Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) akan melaksanakan beberapa cadangan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihanraya (ERC) sebagai sebahagian dari pembaharuan amalan pilihan raya.
“Saya mengalu-alukan sebarang pembaharuan munasabah ke arah mengukuhkan sistem demokrasi tetapi ia janganlah bertentangan dengan kelaziman amalan pilihan raya di negara ini.
“Sebarang pembaharuan perjalanan pilihan raya juga tidak boleh sama sekali menghakis atau melanggar hak asasi dalam berdemokrasi,” kata Mohamad.
ERC dilaporkan akan mencadangkan sistem “Perwakilan Berkadar” dan memansuhkan Pilihan Raya Kecil (PRK).
Mohamad berkata, mengikut pemahaman umum “Perwakilan Berkadar” merupakan suatu sistem atau pilihan raya di mana keputusan akhir pilihan raya adalah berdasarkan kepada agihan undi yang diperolehi oleh setiap parti.
“Misalnya, jika parti A menang 50 peratus undi keseluruhan pilihan raya, 50 peratus kerusi di Parlimen akan diberi kepada parti tersebut.
“Ini bermakna setiap undian adalah diberikan pemberat. Manakala dalam sistem pengundian majoriti mudah (simple majority), peratusan ini tidak penting,” kata Mohamad.
Mohamad berkata, beliau juga diberitahu melalui sistem yang dicadangkan itu PRK juga tidak akan diadakan jika berlaku kematian wakil rakyat atau kekosongan disebabkan faktor tertentu.
Kerusi tersebut akan diganti secara automatik oleh parti yang mewakili kawasan tersebut sebelumnya.
“Cadangan ini juga bermakna, tiada lagi sistem yang membenarkan individu tanpa parti bertanding dalam pilihan raya.
“Semua ini bukan sahaja menyekat hak rakyat tanpa parti untuk bertanding dalam pilihan raya tetapi juga menyekat hak rakyat sesuatu kawasan memilih wakil mereka ke Parlimen.
“Akhirnya demokrasi di negara ini akan menjadi gelanggang percaturan parti politik dan tidak lagi mengenai perwakilan rakyat yang sebenarnya,” kata Mohamad.
Lebih mengelirukan menurut Mohamad, cadangan tersebut mengecualikan Sabah dan Sarawak.
Kedua-dua negeri tersebut akan terus menggunakan sistem pemilihan sedia ada.
“Apa rasionalnya perlu ada dua sistem berlainan antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak?
“Pembaharuan amalan pilihanraya mestilah tidak janggal kepada sistem demokrasi yang telah berfungsi dengan baik semenjak Malaysia merdeka.
“Pengenalan sistem yang di luar kelaziman adalah sangat ‘counter-productive’ kepada kesuburan demokrasi,” tegas Mohamad.
Menurut beliau, alasan untuk mengelakkan pembaziran wang rakyat dengan tidak mengadakan PRK adalah sangat dangkal dan tidak munasabah.
Tegas Mohamad, hak untuk berpartisipasi dalam demokrasi tidak ternilai harganya.-SM