Politik

Jangan diskriminasi penyewa pangsapuri

KERAJAAN diminta mengkaji semula kebenaran kepada pihak pengurusan kondominium atau pangsapuri berservis untuk mengarahkan penyewa menjalani ujian saringan.

Tindakan sedemikian akan menyebabkan berlaku diskriminasi terhadap penyewa sekiranya mereka tidak dibenarkan pulang ke rumah mereka.

Tidak adil mengatakan penyewa berisiko menyebabkan jangkitan penularan wabak pandemik Koronavirus (Covid-19) apabila mereka ingin pulang ke rumah sendiri.

Pemilik rumah atau premis juga mempunyai risiko yang sama kerana penyakit tidak mengenal pemilik atau penyewa rumah.

Kebenaran kepada pihak pengurusan untuk mengeluarkan arahan ujian saringan akhirnya nanti akan menimbulkan konflik antara penduduk dan pengurusan.

Ini kerana, umum maklum kos untuk menjalani ujian saringan bukanlah murah dan hal itu akan membebankan penyewa yang kurang berkemampuan.

“Menteri kata penyewa boleh diarah JMB (badan pengurusan bersama) atau Persatuan Penduduk untuk jalani saringan Covid-19.

“Tetapi biasanya caj tinggi (RTK RM100 – RM140, PCR RM200 – RM300), kecuali bila ada program khas.

“Habis itu macam mana warga B40 mampu hendak balik rumah?”

Demikian kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, dalam satu kenyataan menempelak tindakan kerajaan membenarkan pengurusan mengarahkan penyewa jalani ujian saringan.

Terdahulu, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam taklimat perkembangan pengurusan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberitahu pengurusan kondominium boleh mengarahkan penyewa menjalani ujian saringan Covid-19.

Menurut laporan Suara Merdeka semalam, beliau berkata demikian untuk menjaga keselamatan penghuni mereka maka pihak pengurusan kondominium atau pangsapuri berservis.

Dalam pada itu, Ahmad Fahmi menambah, kebenaran yang diberikan oleh kerajaan itu tidak terkandung dalam peraturan kediaman (house rules) mengikut Akta Pengurusan Strata 2013.

“Tambahan pula, JMB/MC perlu masukkan arahan ini dalam house rules mengikut Akta Pengurusan Strata. Perlu notis 21 hari dan EGM (Mesyuarat Agung Tergempar).

“Waktu PKP mesyuarat EGM tidak dibenarkan. Jadi bagaimana arahan ini boleh dilaksana JMB/MC secara sah? Jika dilaksana tanpa EGM, penyewa boleh cabar. Menteri sedar?

“Dasar ini harus dikaji semula, jika tidak ia mungkin akan menimbulkan pelbagai komplikasi dan masalah tambahan,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, mendesak kerajaan supaya tidak membuat pengumuman yang akan menyusahkan orang ramai.

Katanya, Ismail Sabri tidak sepatutnya membuat keputusan yang akan mendiskriminasi penyewa dengan penduduk.

“Geramnya! Bilakah menteri ini akan menggunakan sains untuk mentadbir dengan baik? Covid-19 tiada diskriminasi kepada pemilik atau penyewa rumah, warga Malaysia atau asing, rakyat atau menteri.

“Jangan buat pengumuman seperti ini yang akan menyusahkan ramai penyewa rumah,” tempelaknya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button