Jangan berperangai seperti ‘big bos’ – Bung Moktar
BARISAN Nasional akan terus menerajui negeri Sabah jika wakil rakyatnya mudah didekati dan tidak bersikap seperti bos besar atau big bos.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, jika wakil rakyat bersikap begitu, bukan sahaja satu penggal malah separuh penggal pun tidak mampu bertahan.
Tetapi katanya, jika mereka mengetepikan sikap big bos itu, sepuluh penggal pun BN boleh bertahan di Sabah.
“Saya kata dengan semua calon, saya pesan, sudah menang nanti, kita harus kembali kepada rakyat, sebab (kuasa) kita datang daripada rakyat, maka kita harus kembali kepada rakyat,” kata ketika berceramah demikian di DUN Pantai Dalit.
Beliau memberi jaminan bahawa wakil rakyat BN nanti akan melayan rakyat dan bukannya minta dilayan.
“Itu janji-janji kita. Jangan kita jadi wakil rakyat macam sultan, jangan jadi wakil rakyat macam big boss, buat engagement, turun padang, jumpa rakyat, jumpa anak muda.
“Insya-Allah, kalau buat begitu, bukan kita kerajaan satu penggal, dua penggal, sepuluh penggal, bahkan buat beratus-ratus tahun, BN dan rakan-rakan lain akan terus disokong oleh rakyat,” katanya.
Oleh itu katanya, pengundi perlu memberi peluang kepada calon-calon BN untuk memimpin Sabah,
“Kalau kami tidak baik sepak saja kami,” tambahnya.
Bung Moktar juga mengatakan telah bersetuju melaksanakan manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang digelar Aku Janji.
“Unit Perancang Ekonomi dan Jabatan Perdana Menteri telah bersetuju untuk (melaksanakan manifesto). Ini tidak membebankan atau terlalu ringan,” katanya.
BN akan bertanding di 41 kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah kali ini dengan calon dari UMNO bertanding di 31 kerusi, PBRS (enam kerusi) dan MCA (empat kerusi).
Perikatan Nasional pula bertanding di 29 kerusi dengan 19 kerusi diberikan kepada Bersatu sementara Star dan SAPP bertanding masing-masing lapan kerusi dan dua kerusi.PBS bertanding di 22 kerusi DUN.- SM