Politik

Jangan bagi isyarat salah ‘cahaya di hujung gua’

ANALISIS

HENDAK berkongsi rasa teruja, penulis Datuk Dr. Ahmad Faris Abdul Halim, Penganalisis isu semasa, fikir bukan itu perkataan yang tepat.

Ia bila mana melihat Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan kelmarin berkongsi gambar penandatanganan satu dokumen antara tiga pemimpin Melayu dari Pas, UMNO dan Bersatu- Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mungkinlah, perkataan yang paling kena adalah terharu dan insaf.

Setelah hampir tidak ternampak cahaya di hujung terowong untuk merealisasikan perpaduan menyeluruh orang Melayu, yang sebelum ini hanya UMNO-Pas menterjemahkan melalui Muafakat Nasional (MN), rupa-rupanya masih ada harapan itu.

Tanpa disangka-sangka, muncul satu lagi gabungan politik baharu, Perikatan Nasional (PN) yang kali ini ditambah ahlinya menerusi permuafakatan dengan Parti Bersatu – yang turut dianggotai Gabungan Parti Sarawak (GPS). Syabas. Tahniah.

dokumen

Ketika cabaran mendatang sama ada PN mampu bertahan, penulis lebih senang membawakan satu isu yang perlu direnung dan diperingatkan.

Ini kerana dalam dua, tiga bulan ini, kelihatannya ada sebilangan pemimpin kanan UMNO sudah mula nampak `goyah’. Usahlah lagi hendaknya berulang kisah 9 Mei 2018. Jangan gelojoh. Jangan terlebih perasan.

Seingat penulis, pada 2018, ada ahli jawatankuasa bahagian dan beberapa agensi memberi petunjuk menyatakan UMNO/Barisan Nasional akan tumbang. Namun hal ini tidak diendahkan.

Tapi bila disemak senario akhir-akhir ini didapati semua yang `diperkatakan’ dulu sudah `hidup balik’ hingga konon bila dibuat calculation, dengan gabungan UMNO-Pas sahaja sudah meraih 138 kerusi. Harap-harap jangan kita terlupa politik ini bukannya 1 +1 = 2.

Adakah kepimpinan UMNO sedar berlaku perebutan kerusi di peringkat bahagian setelah `masing-masing’ merasakan boleh meraih 128/138 kerusi Parlimen dalam snap election atau PRU-15 nanti? Sementara di peringkat bawah pula ada yang seolah-olah sudah tidak `keruan’, `berkepak balik’, wal hasil balik asal `perangainya’.

Memang kita akui selepas kekalahan UMNO temoh hari, pemimpin-pemimpin ini menganggap ia suatu ujian Allah. Lantas memberi kesedaran kepada mereka. Namun keinsafan ini tidak berpanjangan bila `nampak cahaya di hujung gua’. Masing-masing sudah rambang mata.

Ingatkah kisah perjuangan tentera Islam yang dipimpin oleh Rasulullah SAW dalam Perang Uhud? Tatkala tentera Islam di ambang kemenangan, serangan tentera berkuda musuh sebagai serangan terakhir telah menjadikan baginda sebagai sasaran dalam serangan tersebut.

Kealpaan tentera Islam yang sudah menyangka peperangan tamat dan turun untuk mengambil harta rampasan perang, menyebabkan tentera Islam terdedah kepada serangan musuh. Serangan berkuda pihak musuh dari sebelah belakang bukit menjadikan tentera Islam dalam keadaan kucar-kacir. Dalam peperangan Uhud itu, baginda mendapat luka dan gigi baginda patah.

Lihatlah Pas. UMNO sudah jadi sahabat karib dan belajar daripada ahli-ahli Pas akan tahap pengorbanan serta sumbangan pada parti. Tetapi setelah setahun bersahabat, elemen-elemen akhlak belum berpindah lagi dari orang Pas ke UMNO.

Dan bila nampak nak menang, ada negeri yang kita semua sedia maklum diketuai seorang panglima, dengan tinggal batu nisan tak menang-menang, menimbulkan semula individu tertentu yang dengarnya ditolak rakyat.

Rakyat menaruh harapan tinggi kepada MN sebab melihat perubahan turut terletak di tangan BN setelah kekalahan. Tetapi apa yang berlaku kini sebaliknya.

Jika diteliti dengan sewajarnya, kita dapat lihat UMNO sebenarnya masih mampu bangun semula sebagai pemerintah negara selagi pendukung dan penyokongnya sanggup bekerja keras dengan ikhlas tanpa mengharapkan sesuatu sebagai ganjaran.

Orang Melayu tidak harus malu menyokong UMNO yang pernah berjasa kepada rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Sepanjang BN memerintah di bawah payung UMNO, tidak ada mana-mana kaum yang tertindas dan terpinggir walaupun sering dimomokkan penyokong parti pembangkang ketika itu.

Lihatlah kepada realiti masa kini bahawa UMNO adalah sebuah parti orang Melayu yang membuka peluang kaum berkenaan menjadi Perdana Menteri, Timbalan Menteri, Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Hakim Negara, Ketua Polis Negara, Peguam Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Ketua Pengarah Pelajaran, Naib Canselor Universiti Awam dan Swasta, Pengerusi PNB, Ketua Pegawai Eksekutif Bank serta jawatan tertinggi lain dalam sektor awam serta swasta.

Mungkin, yang meluat ada – teringat dengan kisah si pemakai kain tuala di depan sebuah bangunan beberapa tahun lalu. Oh! harap jangan hantar isyarat atau signal yang salah kepada rakyat.

Lihat contoh satu signal dalam negara yang memberi implikasi kepada yang lain. Contohnya, pilihan raya umum 1990 menyaksikan kekalahan Parti Melayu Semangat 46 disebabkan pemimpinnya memakai lambang salib di kepala.

Yang jelas, `mereka’ ini ditolak oleh rakyat. Rakyat hormat pimpinan yang berusaha keras untuk kepentingan rakyat.

Pada masa sama juga, bukanlah suatu rahsia umum geran-geran kerajaan digunakan untuk tujuan peribadi. Adakah ini masalah kepimpinan BN yang baru beberapa bulan ini berkuasa semula atau kerajaan `22 bulan’ itu?

Yang akhirnya menggembirakan `pihak musuh’. – SM

(Visited 449 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button