Jambatan lebuh raya dalam pembinaan runtuh, 5 mangsa terperangkap
LIMA mangsa disahkan terperangkap dalam kejadian runtuhan jambatan lebuh raya di hadapan Apartment Desa Tun Razak bersebelahan MRR2 dari Pandan Indah menghala ke Ampang.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur berkata, maklumat dan keadaan mangsa masih belum dapat dipastikan dan operasi sedang dijalankan.
“Kita menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.58 petang dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besi, Jalan Hang Tuah, Bandar Tun Razak dan Cheras bersama 23 anggota telah dikerah ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba ditempat kejadian terdapat runtuhan jambatan dalam pembinaan yang menghempap sebuah van kilang.
“Makluman awal yang diterima terdapat 5 orang mangsa terperangkap di dalam van kilang tersebut,” katanya.
Kejadian tersebut juga tular di laman sosial dan telah mengakibatkan kesesakan lalu lintas di kedua-dua lebuh raya MRR2 dari arah Sri Petaling dan Bulatan Bilion.
Difahamkan, jambatan yang runtuh itu adalah melibatkan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang masih di dalam fasa pembinaan. -SM