Nasional

Jaga kemuliaan dan gelaran darjah kebesaran – Tengku Hassanal

PEMANGKU Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini mengingatkan semua penerima darjah kebesaran negeri Pahang agar menjaga kemuliaan dan gelaran yang diberikan kepada mereka.

Tengku Hassanal bertitah, peringatan itu juga terpakai kepada bakal penerima darjah kebesaran tersebut yang mana baginda menegaskan, “setiap kurniaan di bumi Allah datang bersama tugas dan amanah yang wajib dijunjung.”

“Jangan sesekali bersikap riak dan angkuh sebaliknya ambil resmi padi yang semakin berisi semakin menunduk.

“Berilah sumbangan sebaiknya kepada negeri dan rakyat beta,” titah baginda semasa menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Pahang sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-61 Sultan Pahang di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang, hari ini.

Pada istiadat itu, Tengku Hassanal berkenan menyempurnakan pengurniaan darjah kebesaran kepada 56 penerima termasuk lapan kekanda dan adinda baginda yang masing-masing menerima darjah kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri dan darjah kebesaran Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk Indera.

Tengku Hassanal juga menitipkan doa moga Allah SWT terus mencorak, membentuk, mendidik dan mengurniakan perkara yang baik kepada ayahanda baginda yang kini bersemayam di Istana Negara selepas ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang juga Tengku Ampuan Pahang.

Merujuk kepada nama pilihan Seri Paduka, Tengku Hassanal berkata, nama yang bermaksud “Sultan sebagai hamba Allah, pembela agama yang terpilih oleh Allah” adalah hasrat Seri Paduka supaya sentiasa menjadi doa dan mendapat limpah perkenan Allah dalam menjalankan amanah yang diberikan.

“Keterikatan baginda (Seri Paduka) kepada Allah mewajibkan baginda untuk bersikap adil kepada semua bangsa, agama atau taraf hidup, menjaga keamanan negara dan menegakkan kebaikan.

“Titah nasihat baginda serta contoh teladan yang dipamerkan tidak lain hanya melambangkan keikhlasan dan kasih sayang tulen dalam hati baginda kepada rakyat, bukan hanya di peringkat negeri bahkan ke seluruh negara yang secara tidak langsung menjadi contoh yang baik dan menaikkan nama negara di mata dunia,” titah Tengku Hassanal.

Tengku Hassanal juga mengingatkan rakyat agar mengekalkan perpaduan, mempertahankan nilai murni, sentiasa menjaga batas dan adab walaupun semasa berdepan cabaran, supaya amanah yang digalas dilaksanakan mengikut ilmu dan bukannnya emosi.

Tanpa sikap yang baik seperti itu, Tengku Hassanal bertitah, boleh menyebabkan kuasa dan amanah yang diberikan tersasar daripada jalan yang benar sehingga boleh mengakibatkan hilang integriti, rasuah berleluasa, pecah amanah dan perpecahan serta pergaduhan. – BERNAMA – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button