Politik

Bersatu sertai MN: Masa terbaik ummah disatupadukan – Annuar

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Tan Sri Annuar Musa menyambut baik kenyataan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin bahawa parti pimpinannya Bersatu akan menyertai Muafakat Nasional (MN).

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional menepati masa untuk menyatupadukan ummah.

Menurutnya, penyertaan Bersatu ke dalam Muafakat Nasional  sekaligus menolak politik berlandaskan kebencian dan politik pecah belah.

“Syukur alhamdulillah. Muafakat membawa berkat. Masa terbaik ummah disatupadukan.

“Tolak politik benci dan tolak politik pecak belah. Kita berpadu barulah kita memerintah. Khidmad untuk semua kaum dan bangsa,” kata Annuar.

Muhyiddin hari ini mengumumkan bahawa Majlis Tertinggi Bersatu telah memberi persetujuan untuk menyertai Muafakat Nasional.

Dalam rakaman ucapan sempena mesyuarat Bersatu Armada (sayap Pemuda), Srikandi (sayap Wanita) dan mesyuarat bahagian yang diadakan hari ini Muhyiddin berkata, beliau percaya bahawa ia adalah pilihan terbaik untuk Bersatu.

“​Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu juga telah bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional yang mendokong Perikatan Nasional sebagai gabungan besar atau the grand coalition.

“InsyaAllah, penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya.

Menurutnya, penyatuan itu akan mewujudkan kestabilan politik negara yang akan memberi keamanan, keharmonian dan kemakmuran kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

MN adalah pakatan politik yang dibentuk oleh Umno dan PAS pada September tahun lalu, sebagai memformalkan kerjasama mereka yang bermula beberapa tahun sebelumnya.

Umno juga merupakan sebahagian daripada Barisan Nasional, yang merupakan gabungan politik formal yang terdiri daripada dua parti lain – MCA dan MIC.

Bersama Bersatu, GPS dan Star dari Sawarak, dan PBS yang berpusat di Sabah, parti-parti dalam MN dan BN membentuk kerajaan PN, yang kini menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.-SM

(Visited 117 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button