Nasional

Jaga kebersihan, bawa bekas sendiri ke bazar Ramadan

SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) menggalakkan orang ramai membudayakan amalan membawa bekas makanan dan minuman sendiri serta beg yang boleh diguna semula setiap kali berkunjung ke bazar Ramadan untuk mendapatkan juadah berbuka puasa.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, amalan ini dilihat amat penting bagi mengurangkan penggunaan plastik sekali guna memandangkan kebanyakan makanan dan minuman di bazar Ramadan dijual dengan dibungkus di dalam plastik.

“Peningkatan sisa plastik bungkusan makanan di bulan Ramadan dikhuatiri akan menyumbang kepada pencemaran alam sekitar secara berterusan.

“Oleh itu, sudah tiba masanya kita mewujudkan budaya baharu iaitu ‘tapau’ juadah berbuka puasa dengan menggunakan bekas yang dibawa sendiri seperti mangkuk tingkat, tupperware serta beg kitar semula.

“Jika setiap di antara kita memulakan budaya ini, tidak mustahil ia akan menjadi satu kebiasaan dalam kehidupan seharian dan seterusnya dapat mengurangkan penggunaan plastik serta sisa yang dijana.

Selain itu, makanan yang ditapau dalam bekas makanan sendiri lebih terjamin kebersihannya serta boleh terus dihidang,” katanya.

MOHD NORLISAM MOHD NORDIN

Tambah Mohd Norlisam, membawa bekas sendiri dan beg kitar semula ke bazar Ramadan juga menyokong salah satu elemen dalam kempen kesedaran 3R (Reduce, Reuse, Recycle) yang merujuk kepada pengurangan sisa yang dijana termasuklah sisa plastik.

“Walaupun perubahan yang dilakukan ini nampak kecil tetapi mampu memberi impak yang besar dalam jangka masa panjang termasuklah menyelamatkan alam sekitar daripada dicemari lambakan sisa plastik,” katanya.

Dalam pada itu, SWM Environment tidak ketinggalan membawa mesej kesedaran meraikan bulan Ramadan yang mulia ini dengan norma baharu iaitu elakkan pembaziran makanan.

Berdasarkan kepada tahun-tahun sebelum ini, adalah dijangkakan kadar sisa makanan akan meningkat sebanyak 20 peratus apabila bulan Ramadan.

“Oleh itu, SWM Environment menyeru masyarakat agar lebih menghargai makanan dengan membeli juadah berbuka mengikut keperluan. Sekiranya ada lebihan makanan, jangan terus dibuang sebaliknya beri kepada pihak yang memerlukan.

“Langkah ini bukan saja dapat mengelakkan pembaziran dan menjimatkan wang, malah dapat mengurangkan penjanaan sisa makanan yang dibuang ke tapak pelupusan sampah,” tambahnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button