Nasional

PahangMart ganti bazar Ramadan

SUSULAN aktiviti bazar Ramadan tidak dibenarkan di Pahang akibat COVID-19, kerajaan negeri akan melancarkan portal jual belia dalam talian PahangMart bagi menggantikan bazar Ramadan yang kemungkinan besar tidak akan diadakan semasa semasa bulan puasa kelak.

Kerajaan negeri telah meminta pihak pengurusan PahangGo menawarkan perkhidmatan dalam talian bagi memudahkan urus niaga ‘mencari makan’

Pada masa sama, orang ramai dapat membuat pesanan-pesanan makanan untuk juadah berbuka puasa mereka.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri akan melancarkan ‘platform’ pasar raya atas talian atau portal dikenali ‘PahangMart’.

Portal ini akan memaparkan senarai pasar raya yang beroperasi dalam negeri Pahang berserta barangan jualan mereka.

“Yang akan turut dipaparkan ialah senarai tapak Bazar Ramadan serta gerai-gerai jualannya dan orang ramai boleh melihat gambar juadah yang disediakan lalu membuat tempahan menerusinya.

“Selain turut menggunakan perkhidmatan penghantaran sedia ada, PahangGo – pihak yang bertangungjawab membina portal PahangMart ini juga akan menyediakan ‘platform’ penghantaran (runner),” kata beliau dalam kenyataan kepada SUARA MERDEKA hari ini.

Menurut Wan Rosdy, rakyat negeri itu yang berminat untuk mendaftar sebagai penghantar (runner) itu pula boleh menghubungi ‘PahangGo’ menerusi laman sosial mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.

“Menerusi inisiatif itu diharap dapat membantu bukan sahaja orang ramai untuk membeli juadah bazar Ramadan dan barangan keperluan harian lain, malah boleh membantu peniaga dan penjaja kecil untuk terus berniaga dalam tempoh yang sukar akibat wabak pandemik COVID-19 ini,” kata beliau

Terdahulu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri memutuskan tidak membenarkan penganjuran aktiviti bazar Ramadan di kesemua kawasan di bawah pentadbiran 11 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.

Keputusan itu, kata beliau, diambil bagi meneruskan lagi usaha untuk membendung penularan COVID-19 yang masih melanda negara.

“Ia juga sebagai menuruti saranan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang tidak menggalakkan sebarang bentuk perhimpunan melibatkan orang ramai dalam tempoh enam bulan hingga setahun, tanpa mengira sama ada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang dilanjutkan lagi atau tidak.

“Sebagaimana kita sedia maklum, PKP Fasa 1 bermula 18 Mac hingga 31 Mac, telahpun dilanjutkan kepada Fasa 2 sehingga 14 April 2020. Umat Islam pula dijangka memulakan ibadah puasa bulan Ramadan Al-Mubarak pada 24 April 2020,” kata beliau.

Dengan keputusan itu, ia melibatkan 94 lokasi penganjuran bazar Ramadan di seluruh negeri serta 4,639 peniaga seperti mana statistik yang direkodkan pada penganjuran Bazar Ramadan tahun lepas (2019) di kesemua 11 PBT dan di bawah pentadbiran Lembaga Pembangunan Tioman (TDA). – SM

 

(Visited 602 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button