Nasional

Menjaga kebersihan tanggungjawab semua, titah Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalulail mengingatkan bahawa tanggungjawab menjaga kebersihan bukan hanya terletak pada pihak kerajaan.

Malah, semua lapisan masyarakat perlu prihatin dan mengambil peduli untuk sama-sama meningkatkan tahap penjagaan kebersihan terutamanya di kawasan kediaman dan persekitaran masing-masing.

Tambah baginda, ‘Amalkanlah kitar semula dengan mengasingkan sampah ingin dibuang dan barang yang boleh dikitar semula dan tidak menganggap semuanya dikategorikan sebagai sampah dan membuangnya begitu sahaja’.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian setelah memperkenankan supaya ‘Program Amal Jariah Melalul Barangan Kitar Semula Di Seluruh Masjid Negeri Perlis’ yang dirancang pada asalnya untuk diadakan di Masjid Al-Amin, Kg Sempering, Perlis pada hari selasa 22 Jun 2021 ini ditunda.

Tarikh baru program anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs)
yang akan dilaksanakan mengikut garis panduan yang dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) ini akan diumumkan semula apabila tempoh arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Malaysia berakhir kelak.

Sementara itu, Pengarah SWCorp Negeri, Shamsuharizal Basir pula menerangkan bahawa sampah atau barang-barang tidak perlu seperti perabut dan sampah kebun yang terhasil melalui aktiviti pembersihan oleh para pemilik rumah atau aktiviti gotong royong yang diaturkan melalui inisiatif proaktif komuniti setempat masing-masing perlu sentiasa diuruskan dengan baik. Sampah ini perlu dibungkus dan dikeluarkan daripada kediaman dan hanya dibuang di dalam tong sampah mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh pihak SWCorp.

Beliau juga mengajak seluruh masyarakat Perlis bersama-sama membudayakan amalan kebersihan dalam kehidupan seharian melalui slogan “Rakyat Perlis Hidup Bersih” serta masyarakat yang bermentaliti kelas pertama dalam aspek kebersihan sepertimana yang dihasratkan oleh Tuanku Raja Muda sejak sekian lamanya itu.

(Visited 259 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button