Jadikan peluang melancong ke Perlis memori indah
RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya para pelancong yang telah berkunjung ke Perlis menjadikan ia sebagai kenangan dan disematkan sebagai memori yang sangat indah.
Baginda bertitah, setiap pengunjung juga diharap dapat meluangkan masa untuk menginap selama beberapa hari di Perlis dan meneroka keindahan dan keistimewaan negeri ini yang damai dan menawan.
“Pada masa yang sama silalah berbelanja dengan membeli produk-produk keluaran tempatan dan jangan lupa datang lagi,” titah Baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Beseri, Perlis.
Kayuhan anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu turut disertai oleh ketua-ketua jabatan dan agensi Negeri serta Persekutuan dalam usaha menoktahkan kemiskinan di negeri ini.
Program pada kali ini juga turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RediPay Berhad, Adam Dahlan yang menyampaikan bantuan kewangan bagi pihak syarikatnya.
Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang DiPertua MAIPs berkenan mengurniakan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada setiap asnaf terpilih iaitu wang tunai RM700, Kits MAIPs Peduli, beras Fidyah dan sebuah kipas setiap seorang.
Asnaf yang terpilih pada kali ini adalah Norihan Che Saleh, 58 dari Kampung Padang Lati, Aishah Mat Isa, 80 dari Jalan Santan, Padang Lati dan Rahmah Darani, 85 dari Kampung Padang Lati.
Baginda turut berkenan meluangkan masa mengadakan lawatan buat kali ke dua di Kafe Kupi Kahfi yang beroperasi di dalam Gua Bukit Tau Adventure Park.
Perniagaan ini yang diusahakan oleh Suhair Yaacob merupakan salah satu tarikan unik dan menerima kunjungan yang sangat tinggi terutamanya hari cuti sekaligus merancakkan lagi kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025. – SM
BACA Pelancong ke Perlis boleh sewa motosikal elektrik mulai 1 Februari