Nasional

Isyarat jelas pendirian Malaysia terhadap Israel – Fahmi

Keputusan kerajaan melarang sebuah syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel daripada berlabuh di pelabuhan dalam negara adalah isyarat jelas bahawa Putrajaya tidak mengiktiraf rejim Zionis itu.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, berkata ia bukti Malaysia tidak akan bersekongkol dengan Israel dalam apa juga situasi termasuk membantu dari segi ekonomi.
Beliau juga mengulangi kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tindakan itu tidak sama sekali menjejaskan kegiatan perdagangan negara.
“Tidak. Saya lihat ini adalah selari dan selaras dengan dasar kerajaan yang beri penegasan tentang beberapa isu melibatkan Israel.
“Saya lihat kita konsisten dan komitmen kita untuk perjuangan nasib rakyat Gaza,” katanya pada sidang media Program Spotlight: Apresiasi Sinema Malaysia Tahun 2023 anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) pada Rabu.
Terdahulu, Anwar dalam kenyataan berkata Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat Zim yang berpangkalan di Israel berkuat kuasa serta-merta.
Anwar turut menjelaskan kebenaran kepada syarikat itu berlabuh di Malaysia diberikan Jemaah Menteri pada 2002, diikuti kebenaran mendarat tiga tahun kemudian.
Tambah Anwar, berkuat kuasa serta-merta, Malaysia juga melarang kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.
Dalam pada itu, Fahmi berkata walaupun tidak mempunyai angka yang spesifik mengenai jumlah kapal Zim yang berlabuh di pelabuhan negara, beliau yakin ia tidak akan menjejaskan aktiviti perkapalan dan penggunaan pelabuhan.
“Saya percaya jumlahnya tidak besar dan semestinya kerajaan akan teliti dari semasa ke semasa tentang isu ini,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button