Jenayah

Syarikat telekomunikasi dikompaun RM4.6j, Digi tertinggi

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengeluarkan 92 kompaun bernilai RM4.6 juta terhadap lima syarikat telekomunikasi setakat suku kedua tahun ini.

Menurut SKMM jumlah kompaun tersebut adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan jumlah keseluruhan sepanjang tahun 2019.

Tahun lalu hanya 29 kompaun bernilai RM960,000 dikeluarkan terhadap lima syarikat terbabit.

Syarikat terbabit dikompaun atas pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 105(3) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

“Kesemua kompaun yang dikeluarkan meliputi kesalahan untuk prestasi penyelesaian aduan pengebilan, prestasi penyelesaian bukan pengebilan dan standard prestasi pengendalian panggilan pelanggan,” kata SKMM.

Digi Telecommunications Sdn Bhd merupakan syarikat tertinggi menerima kompaun iaitu sebanyak 31 dengan nilai RM1.55 juta.

Diikuti Maxis Broadband Sdn. Bhd. yang menerima 28 kompaun berjumlah RM1.4 juta; Celcom Axiata Berhad sebanyak 24 kompaun berjumlah RM1.2 juta.

IT dotCom Sdn. Bhd menerima 5 kompaun berjumlah RM250,000 dan Telekom Malaysia Berhad yang dikenakan 4 kompaun berjumlah RM200,000.

Jelas SKMM peningkatan jumlah kompaun yang tinggi dikeluarkan bagi suku kedua tahun ini mencerminkan ketegasan dan komitmen SKMM dalam memastikan kualiti pengalaman pengguna sentiasa terjamin.

“Sekaligus mengukuhkan keyakinan dan kebolehpercayaan pengguna terhadap industri komunikasi dan multimedia negara serta memastikan kemampuan industri terhadap kepentingan pengguna untuk jangka panjang,” kata SKMM dalam satu kenyataan.-SM

(Visited 429 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button