Isu Perak selesai, Zahid mohon maaf, Shaarani MB Perak baharu
UMNO, Pas dan Bersatu mencapai kata sepakat untuk melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Barisan Nasional ) Kota Tampan Datuk Shaarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.
Persetujuan itu dicapai dalam perbincangan bersama antara Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini.
Dalam perbincangan itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO memohon maaf bagi pihak Ahli Dewan Undangan Negeri BN berikutan kesilapan yang berlaku dalam isu undi percaya terhadap kedudukan menteri besar Perak.
“Atas semangat permuafakatan Barisan Nasional, ketiga-tiga parti telah bersetuju untuk mencadangkan YB Datuk Shaarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak yang baharu untuk diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.
“Perbincangan hari ini juga telah mencapai kata sepakat mengenai pelantikan-pelantikan lain dalam kerajaan negeri,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan secara bersama oleh setiausaha-setiausaha agung ketiga-tiga parti.
UMNO, Pas dan Bersatu turut bersepakat memperkukuhkan lagi kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perikatan Nasional di negeri Perak dan juga di peringkat nasional demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.
Kenyataan itu ditandatangani oleh Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung BN Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan.
Kemelut politik Perak bermula Jumaat lalu selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dari parti Bersatu hilang kepercayaan sebagai menteri besar Perak selepas usul percaya terhadapnya diundi secara belah bahagi di Dewan Undangan Negeri Perak.
Dalam undian yang dipengerusikan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Mohamad Zahir Abdul Khalid, hanya 10 ADUN menyokong kepimpinan Faizal, berbanding 48 yang membantah dan 1 undi rosak.
Usul undi percaya terhadapnya dibawa Adun Pengkalan Baru, Abdul Manaf Hashim, dari UMNO.
DUN Perak terdiri daripada 24 ADUN UMNO, empat PPBM, dan tiga Pas, dan pembangkang iaitu 16 DAP, lima Amanah, dan tiga PKR. – SM