Nasional

Isu kuil Hindu: Dua cadangan kepada kerajaan

Kerajaan diberi dua cadangan berhubung isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman termasuk membina masjid baharu di tapak lain bersebelahan atau berdekatan kuil tersebut.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kerajaan juga diminta supaya tidak merobohkan kuil berkenaan bagi menghormati hak rakyat beragama Hindu di negara ini.

“Ini bermakna masjid dapat dibina dan kuil yang ada di situ kekal di tapak yang sedia ada seperti sekarang tanpa dirobohkan.

“Sebagai Muslim, saya menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga seorang pemimpin Muslim yang dihormati di dalam negeri dan di dunia antarabangsa, maka kita sama-sama tunjukkan budi dan adab seorang Muslim yang diseru oleh ajaran Islam,” katanya menerusi surat terbuka ditujukan kepada Anwar di Facebook pada Ahad.

Ujar Hassan, banyak kebaikan dapat diperoleh jika jalan penyelesaian tersebut dapat dicapai termasuk tidak melukakan perasaan atau hati masyarakat.

“Tidak kurang pentingnya dalam bulan Ramadan yang mulia ini selaku Perdana Menteri Malaysia bagi semua rakyatnya yang pelbagai kaum dan agama dapat menunjukkan contoh sebagai pemimpin perpaduan yang adil dan penuh ehsan,” ujar beliau.

Menurut beliau, Anwar juga perlu agar mengambil jalan penyelesaian adil dan bijaksana berasaskan prinsip Madani yang kini telah diterima baik oleh masyarakat pelbagai agama di Malaysia.

Hassan turut mengulas berkenaan Fasal 1 Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang mana meskipun Islam merupakan agama bagi Persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

“Masyarakat Hindu di Malaysia seperti penganut agama lain menerima tentang kedudukan istimewa Islam di negara ini.

“Mereka hanya ingin secara aman untuk mengamalkan agama mereka tanpa ganggu-gugat. Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur telah lama dibina, melebihi 100 tahun sejak sekian lama sebelum Semenanjung Tanah Melayu merdeka,” ujarnya.

Kata beliau, kuil tersebut telah dibina dengan izin pihak berkuasa pemerintah ketika itu sebagai tempat beribadat kaum buruh India beragama Hindu yang dibawa masuk oleh penjajah Inggeris ke negara ini.

“Ia termasuk ke Kuala Lumpur untuk membina jalan-jalan raya, landasan kereta api dan lain-lain pembinaan infrastruktur yang setengahnya kekal wujud sampai sekarang.

“Kuil tersebut telah berperanan secara aman untuk kepentingan masyarakat Hindu di kawasan berkenaan untuk menjalani amalan agama mereka secara aman damai hinggalah sampai sekarang,” menurutnya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button