Isu halal: Jangan cabar sensitiviti umat Islam
DEWAN Pemuda Pas Jasin mengecam keras tindakan KK Mart yang mencabar sensitiviti umat Islam dengan penjualan sandwich ‘ham & cheese’ menggunakan label halal palsu di Universiti Malaya.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Jasin, Luqmaanul Hakiim Nordin berkata, tindakan ini bukan sahaja mengelirukan pengguna Muslim, tetapi juga menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab terhadap isu halal yang sangat kritikal.
“Kami menegaskan dua pelanggaran serius oleh KK Mart: pertama, pelanggaran SOP Halal Malaysia apabila istilah ‘ham’, yang merujuk kepada daging babi, digunakan pada produk halal, bercanggah dengan prinsip syarak dan standard halal; kedua, penyalahgunaan logo halal pada sandwich ’ham & cheese’, di mana produk tersebut menggunakan logo halal palsu dan pengeluar bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) JAKIM.
“JAKIM telah mengesahkan pada 10 Januari bahawa produk itu tiada sijil halal, dan syarikat pengeluar tidak berdaftar sebagai pemegang SPHM, menjadikannya satu bentuk penipuan dan penghinaan terhadap sistem halal negara,” katanya.
Sehubungan itu mereka mendesak JAKIM dan KPDN untuk mengambil tindakan tegas terhadap KK Mart serta meningkatkan penguatkuasaan terhadap isu halal di seluruh negara.
Mereka juga meminta pengguna Muslim: Umat Islam diseru berhati-hati, mengutamakan produk halal keluaran Muslim, dan memboikot produk serta kedai yang mencabar sensitiviti umat Islam.
“Contohilah sunnah Rasulullah SAW yang telah memecahkan monopoli pasar Madinah yang dikuasai Yahudi, sehingga umat Islam mampu membina ekonomi sendiri. Sunnah ini wajar diteladani.
“Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita semua untuk terus istiqamah dalam menjaga prinsip halal dan haram,” katanya. – SM