Berita

Kerajaan Selangor rugi jutaan akibat kes tipu tanah

KERAJAAN Selangor mengalami kerugian besar sejak beberapa tahun kebelakangan ini akibat kes pertindihan dalam urusan pindah milik tanah.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, menegaskan bahawa pertindihan tersebut menyebabkan kerajaan negeri terpaksa menanggung beban kewangan untuk membayar ganti rugi kepada pihak-pihak yang terlibat.

“Untuk beberapa tahun ini, kerajaan negeri menanggung kerugian yang agak tinggi akibat pertindihan tanah seperti ini. Pertindihan ini menyebabkan kerajaan negeri terpaksa menggantikan tanah atau membayar ganti rugi kerana sebahagian tanah tersebut telah diurus niaga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan SHP Batang Kali, pada Khamis.

Amirudin menyifatkan isu ini sebagai “puncak gunung ais” yang memerlukan perhatian dan tindakan menyeluruh daripada kerajaan negeri.

“Saya percaya ini hanyalah permulaan. Kita boleh mencari lebih banyak ruang untuk diperbaiki, dan kesalahan yang dikesan perlu diperbetulkan.

“Saya juga dimaklumkan bahawa ada pihak yang mengambil kesempatan dalam tempoh peralihan data tanah daripada sistem lama ke sistem e-Tanah yang disiapkan oleh kerajaan persekutuan. Perkara ini turut dikesan berlaku di Klang, dan kerajaan sedang menyemak semula proses pengemaskinian data,” tambahnya.

Terdahulu, tujuh penjawat awam Selangor yang bertugas di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah. Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS), Datuk Dr Yusri Zakariah, mengesahkan bahawa kesemua mereka telah dipindahkan ke jabatan lain.

Kes ini didedahkan selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) membongkar kegiatan kartel pemindahan tanah secara tidak sah yang melibatkan individu dalam organisasi kerajaan.

Sejak September tahun lalu, Bukit Aman menahan 17 individu, termasuk tujuh kakitangan pejabat tanah. Kes ini melibatkan pemindahan tanah seluas 9.4 hektar yang dianggarkan bernilai RM7.1 juta.

Kerajaan negeri kini komited untuk memastikan masalah ini ditangani dengan tegas bagi melindungi aset negeri dan rakyat.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button