Nasional

Kerajaan tidak akan hadkan akses dalam talian

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, kerajaan tidak berhasrat mengehadkan akses dalam talian berdasarkan had umur seperti yang dilaksana beberapa negara lain.

Sebaliknya kata beliau, negara ini akan mengambil pendekatan yang lebih seimbang dalam menangani isu keselamatan dalam talian terutama yang melibatkan kanak-kanak.

“Ramai yang bertanya adakah kerajaan berhasrat untuk mengikuti jejak langkah Australia untuk mengekang had umur 16 tahun untuk akses ke media sosial.
“Kita pada waktu ini tidak berhasrat untuk mengikut bulat-bulat apa yang dilakukan oleh mana-mana negara lain.
“Kita akan imbangi mengambil kira latar belakang sosio-budaya dan juga landskap perundangan dan kawal selia sedia ada dalam negara kita,” katanya dipetik selepas menjadi panelis pada Ekspo dan Sidang Kemuncak Keselamatan Antarabangsa Asia (AISSE) 2025 di Putrajaya pada Rabu.
Dalam pada itu Fahmi berkata, dalam usaha mengatasi isu jenayah dalam talian, pihaknya akan terus melaksanakan advokasi agar lebih ramai cakna terhadap isu berkenaan.
Selain itu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus diminta untuk memperkukuh hubungan antarabangsa dengan badan kawal selia di negara lain.
“Isu keselamatan siber dan keselamatan dalam talian ini tidak boleh dipisahkan, apatah lagi dalam keadaan penjenayah berhijrah secara massa ke media sosial.
“Jadi, langkah dan tindakan perundangan yang mereka (badan kawal selia negara lain) ambil dalam menangani jenayah dalam talian boleh memberikan panduan kepada kita,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button